Projek Perlindungan Cerun di Kerapa, Spak lindungi keselamatan penduduk Rumah Panjang
BETONG: Keselamatan kira-kira 45 pintu rumah panjang di kawasan Kerapa, Spak terus diberi keutamaan menerusi pelaksanaan projek membina struktur perlindungan cerun bagi menangani risiko hakisan dan runtuhan tanah.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, projek tersebut merupakan langkah penting dalam memastikan kesejahteraan penduduk yang berdepan ancaman cerun tidak stabil di kawasan berkenaan.
“Kerajaan sentiasa komited melaksanakan projek infrastruktur asas yang memberi impak langsung kepada keselamatan dan kualiti hidup rakyat. Projek ini penting untuk melindungi kira-kira 45 pintu rumah panjang di sini daripada ancaman cerun tidak stabil.
“Dalam masa sama, kita juga menekankan keperluan sistem saliran yang lebih terancang bagi mengelakkan aliran air yang boleh menjejaskan struktur tanah di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Kerja bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong di Rumah Panjang Kerapa, Spak, pada Selasa.
Menurut beliau, selain aspek keselamatan, kerajaan turut memberi perhatian kepada usaha memperkasa ekonomi penduduk luar bandar melalui sektor pertanian yang menjadi sumber pendapatan utama masyarakat setempat.
“Saya kagum dengan usaha berterusan penduduk yang aktif dalam penanaman getah, lada, padi dan kelapa sawit. Aktiviti ini perlu terus diperkasakan bagi menjamin pendapatan yang mampan,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu memaklumkan bahawa projek perlindungan cerun tersebut telah diluluskan di bawah dana Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Betong pada hujung tahun 2025 dan dijangka akan ditender pada April ini.
“Tinjauan hari ini bertujuan memperhalusi skop kerja agar menepati keperluan sebenar penduduk sebelum reka bentuk projek dimuktamadkan,” jelasnya.
Taklimat oleh pihak JKR Bahagian Betong memaklumkan bahawa projek tersebut melibatkan pembinaan penahan tanah runtuh sepanjang 150 meter, parit konkrit sepanjang 150 meter dengan lebar 800 milimeter serta pembinaan dataran konkrit selebar tiga meter di bahagian belakang rumah panjang.
Dalam lawatan sama, turut diadakan taklimat ringkas oleh Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong mengenai inisiatif penyukatan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) daripada Seksyen 6 (Perimeter Survei) kepada Seksyen 18 yang memberi pemilikan individu kepada penduduk.
Selesai lawatan di Rumah Panjang Kerapa, rombongan seterusnya bergerak ke Rumah Panjang Gerugu bagi meninjau perkembangan projek meratakan tapak baharu rumah panjang yang dilaksanakan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Di lokasi tersebut, pelbagai isu serta cadangan telah dibincangkan melibatkan wakil rakyat, penduduk, kontraktor serta pihak JKR Bahagian Betong selaku agensi teknikal bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan memenuhi keperluan komuniti setempat.-EDISI UKAS