Op Selamat 26: Sarawak Catat Penurunan 14.8 Peratus Kemalangan
KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak merekodkan penurunan ketara sebanyak 14.8 peratus kes kemalangan jalan raya sepanjang pelaksanaan Op Selamat 26 sempena Hari Raya Aidilfitri 2026.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, operasi yang berlangsung selama enam hari bermula 19 hingga 24 Mac itu mencatatkan sebanyak 283 kes kemalangan berbanding 332 kes dalam Op Selamat 24/2025, iaitu penurunan sebanyak 49 kes.
“Bagaimanapun, jumlah kemalangan maut kekal sebanyak lima kes, manakala angka kematian meningkat kepada lapan orang berbanding lima orang pada tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 60 peratus.
“Daripada jumlah kematian tersebut, pengguna motokar mencatatkan jumlah tertinggi iaitu lima orang atau 62.5 peratus, diikuti penunggang motosikal seramai dua orang (25 peratus) dan seorang pengayuh basikal (12.5 peratus),” ujar beliau menerusi satu kenyataan media, pada Rabu.
Menurut beliau lagi, faktor utama kemalangan dikenal pasti berpunca daripada kecuaian dan kelalaian pemandu, termasuk memandu melebihi had laju hingga terbabas, perlanggaran hadapan, kecuaian keluar masuk simpang serta pelanggaran dari belakang.
Dalam aspek penguatkuasaan katanya, sebanyak 14,723 saman telah dikeluarkan sepanjang operasi tersebut, meningkat 119.5 peratus atau 8,016 saman berbanding 6,707 saman pada tahun lalu.
“Peningkatan ini selaras dengan pendekatan ‘Pre-emptive Services and Total Enforcement” yang dilaksanakan, melibatkan kehadiran anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di lokasi berisiko tinggi, di samping tindakan tegas terhadap lima kesalahan utama trafik,” katanya.
Secara keseluruhan, PDRM Sarawak turut melaksanakan strategi operasi merangkumi Op Lancar dan ‘Omnipresence, Show of Force, Enforcement by Objective’ serta advokasi nilai murni bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan mengurangkan risiko kemalangan di lokasi dikenal pasti.-EDISI UKAS