Integriti & Hubungan Komuniti Teras Penyampaian Khidmat PDRM
KUCHING: Nilai integriti dan hubungan yang baik dengan masyarakat akan terus menjadi teras kepada penyampaian perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa menjalankan tugas mereka.
Ketua Polis Negara, Dato Seri Mohd Khalid Ismail berkata, setiap anggota pasukan hendaklah mengambil pendekatan keselamatan masyarakat menjadi ‘core business’ untuk terus memperkukuh hubungan dengan masyarakat bagi mengekalkan keyakinan terhadap keupayaan PDRM.
“Justeru itu, ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ terus diangkat sebagai tema sambutan, sejak ia diperkenalkan pada tahun 2015 kerana ia menepati intipati hubungan simbiotik antara PDRM dengan masyarakat, dalam memelihara ekosistem kehidupan yang lebih aman dan sentosa.
“Bermula dari era penjajahan sehinggalah ke era digitalisasi ini, terlalu banyak ranjau dan dugaan yang telah ditempuh oleh warga PDRM, dalam mengekalkan fungsi serta peranannya sebagai pasukan penguat kuasa undang-undang utama negara dan kemampuan PDRM sentiasa ditagih untuk memberikan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan efisien,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian menerusi teks perutusan Perhimpunan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 yang dibacakan Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, pada Rabu.
Menyentuh mengenai kelantangan masyarakat mempersoalkan kredibiliti dan keupayaan PDRM sejak akhir-akhir ini, beliau menyeru agar setiap anggota untuk kekal matang serta tidak sesekali bertindak mengikut desakan dan persepsi masyarakat, khususnya kepada mana-mana pihak berkepentingan.
“Setiap keputusan yang dibuat adalah berteraskan prinsip integriti dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Oleh itu, PDRM dengan tegas menolak sebarang kompromi yang boleh mencalarkan imej pasukan serta mengurangkan keyakinan masyarakat, terhadap institusi keselamatan yang menjunjung kedaulatan Raja dan Negara, serta mendukung aspirasi Kerajaan MADANI ini,” tegas beliau.
Dalam majlis berkenaan, ACP Alexson Naga turut menyerahkan sijil penghargaan kepada 89 penerima yang terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How, Timbalan KPD Kuching Supt Merbin Lisa, empat Ketua Bahagian IPD Kuching, lapan orang Pegawai Polis Balai dan 50 Pegawai IPD Kuching.
Selain itu, turut diberikan sijil penghargaan ialah 16 orang awam yang banyak membantu PDRM menyelesaikan kes-kes di sekitar Kuching dan 11 wakil media tempatan. -EDISI UKAS