Sarawak Bersedia Hadapi Musim Kering, JPBNS Perhebat Pemantauan
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memperketat langkah kesiapsiagaan di seluruh negeri susulan peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir pada 29 Mac ini, sekali gus menandakan permulaan fasa cuaca lebih panas dan kering.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perubahan musim tersebut berpotensi meningkatkan risiko kebakaran hutan serta gangguan bekalan air, khususnya di kawasan yang terdedah kepada cuaca kering berpanjangan.
Beliau yang juga Pengerusi JPBNS menjelaskan, pengalaman lalu membuktikan kejadian kebakaran pernah berlaku di beberapa lokasi termasuk Kuala Baram ketika tempoh cuaca panas melampau.
“Dalam keadaan cuaca panas, risiko kebakaran sentiasa wujud. Justeru, semua pihak perlu berwaspada dan bersedia sepenuhnya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.
Beliau berkata demikian Ketika ditemui media semasa menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi di sini pada Rabu.
Sehubungan itu jelas beliau, JPBNS akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi menyelaras tindakan kesiapsiagaan di peringkat bahagian dan daerah agar respons dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan pantas.
Beliau turut menegaskan kepentingan pemantauan berterusan di kawasan berisiko tinggi, khususnya tanah gambut, melalui pengesanan titik panas sebagai langkah intervensi awal sebelum kebakaran merebak.
"Antara langkah proaktif yang digerakkan termasuk memastikan kemudahan kritikal seperti telaga tiub, empangan kecil dan sistem pam air berada dalam keadaan optimum bagi menghadapi sebarang kemungkinan," jelasnya.
Dalam pada itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak bersama agensi berkaitan akan terus mempergiat pemantauan hotspot di seluruh negeri sebagai mekanisme pencegahan awal.
JPBNS turut mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh mencetuskan kebakaran tidak terkawal, terutama dalam keadaan cuaca panas dan kering.
Langkah kesiapsiagaan ini penting bagi memastikan keselamatan rakyat terus terpelihara serta meminimumkan risiko bencana sepanjang tempoh peralihan monsun dan musim panas yang bakal melanda.-EDISI UKAS