Permintaan Melonjak, Festival Gawai Dayak Miri Pacu Ekonomi Tempatan
KUCHING: Lonjakan permintaan luar jangka terhadap penyertaan Gawai Dayak Bazaar dan Ethnocultural Festival 2026 di Miri menyaksikan kapasiti 79 gerai yang disediakan tidak mencukupi, sekali gus mencerminkan potensi besar program tersebut sebagai pemacu ekonomi tempatan.
Setiausaha program, Kaunselor Martin Dinil berkata, sambutan menggalakkan daripada usahawan tempatan sehingga mewujudkan senarai menunggu menunjukkan minat tinggi terhadap peluang ekonomi yang ditawarkan.
“Kita telah menyediakan lebih kurang 79 buah khemah… namun tidak mencukupi, ada banyak lagi ‘waiting list’ yang mahu bersama-sama,” katanya ketika ditemubual di Studio UKAS selepas Program Juh Randau, pada Selasa.
Menurut beliau, situasi tersebut mencerminkan keyakinan peniaga terhadap keupayaan festival berkenaan dalam menjana pendapatan serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Dalam perkembangan sama, penganjuran ini menyasarkan nilai jualan sehingga RM2 juta sepanjang penganjuran, meningkat berbanding RM1.8 juta yang dicatatkan tahun lalu.
“Kita menjangkakan jualan boleh mencecah sehingga RM2 juta,” jelasnya.
Beliau juga berkata, festival yang berlangsung dari 1 hingga 23 Mei ini dijangka menarik kehadiran pengunjung dari seluruh Sarawak berikutan pengisian program yang berskala negeri.
“Aktiviti yang kita jalankan bukan terhad kepada Miri sahaja… malah terbuka kepada seluruh Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Bendahari program, Dr Mary Calang memaklumkan bahawa sokongan kerajaan Sarawak melalui peruntukan sebanyak RM1.5 juta memperkukuh pelaksanaan program berskala besar yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Jika tiada sokongan kerajaan, program sebesar ini tidak dapat dilaksanakan dan memberi pulangan kepada rakyat,” katanya.
Festival yang berlangsung selama lebih tiga minggu ini bukan sahaja merancakkan aktiviti ekonomi, malah mengangkat warisan budaya sebagai aset bernilai tinggi yang mampu diterjemahkan kepada peluang ekonomi baharu.-EDISI UKAS