Sarawak Perkasa Bakat STEM Menerusi Industri Aeroangkasa
SEBUYAU: Kerajaan Sarawak terus komited memperkukuh penglibatan generasi muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi mendepani cabaran ekonomi masa hadapan yang berpaksikan teknologi tinggi.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, usaha menarik minat anak-anak terhadap STEM kini difokuskan melalui penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian bagi memastikan bidang tersebut dilihat lebih relevan dan praktikal.
Menurut beliau, usaha menambah bilangan bakat muda ini juga selari dengan hasrat Sarawak untuk meningkatkan penyertaan dalam industri aeroangkasa yang kini menjadi antara agenda utama pembangunan negeri.
“Kita menggalakkan penyertaan dalam industri aeroangkasa yang berkaitan dengan spektrum yang melibatkan bidang komunikasi selari dengan kementerian kami di sini,” ujarnya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Kerajaan Sarawak 2026 di Pejabat Daerah Sebuyau pada Selasa.
Menurutnya, Majlis Aeroangkasa Sarawak (SAC) serta kerajaan negeri telah mengatur strategi bagi memastikan bidang aeroangkasa, termasuk sektor telekomunikasi, dapat diterokai secara meluas oleh anak tempatan.
Dato Sri Julaihi memberitahu, kementerian berkaitan telah ditugaskan sebagai sekretariat bagi menyelaras inisiatif tersebut, selain menjalinkan kerjasama erat dengan pegawai-pegawai daerah dan bukan sekadar tertumpu di peringkat sekolah sahaja.
“Antara aktiviti yang dipergiat termasuk pengoperasian dron, di mana ilmu STEM yang berkaitan dengan teknologi tersebut sangat penting untuk dikuasai bagi memenuhi keperluan industri moden.
“Oleh itu, sebagai tanda sokongan padu, Kerajaan Sarawak telah menyalurkan peruntukan khas bagi tahun 2026 yang merangkumi pelbagai insentif pendidikan untuk meringankan beban pelajar dan keluarga,” katanya.
Tambahnya, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak juga sedang mempertimbangkan untuk menambah jumlah insentif bagi pelajar yang mengikuti bidang kritikal yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran seperti perubatan, perakaunan, dan undang-undang.
Beliau memahami terdapat segelintir pelajar yang kurang yakin untuk menceburi bidang STEM disebabkan kos pengajian yang tinggi di mana PIBG perlu memainkan peranan tegas dalam meyakinkan mereka untuk mengejar cita-cita tersebut.
Ujarnya, langkah ini adalah untuk menggalakkan penceburan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui seperti solar, sekali gus menangani isu kurangnya kepakaran tempatan dalam sektor yang kian berkembang pesat tersebut.
“Prinsip "melentur buluh biarlah dari rebungnya" adalah kunci utama bagi memastikan sasaran melihat lebih ramai anak Sarawak berjaya dalam pendidikan tinggi tercapai,” tambahnya lagi.
“Melihat kepada dinamika pasaran kerja masa kini, kita perlu sedar bahawa proses latihan semula adalah amat kritikal untuk dilaksanakan. Ini kerana permintaan dalam industri sentiasa berubah dengan pantas mengikut arus pemodenan yang kita lalui sekarang," tegas beliau. -EDISI UKAS.