SEBUYAU: Bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di SMK Sebuyau menunjukkan trend perkembangan yang positif dengan peningkatan jumlah enrolmen pelajar secara berperingkat.
Pengetua SMK Sebuyau, Awang Abbas Awang Lawi mendedahkan, minat pelajar terhadap aliran tersebut semakin meningkat, di mana pada tahun 2025, hanya seramai enam orang pelajar yang mengikuti aliran STEM.
Bagaimanapun, jumlah tersebut mencatatkan peningkatan kepada sembilan orang pelajar bagi kumpulan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2026.
“Trend peningkatan ini berterusan apabila seramai 11 orang pelajar bagi tingkatan empat bagi tahun 2026 telah memilih untuk menyertai aliran berkenaan, sekali gus mencerminkan keberkesanan usaha galakan yang dilakukan di peringkat sekolah,” ujarnya semasa ditemui selepas Majlis Penyampaian Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Kerajaan Sarawak 2026 di Pejabat Daerah Sebuyau pada Selasa.
Awang Abbas memberitahu, peruntukan tersebut merupakan sokongan akademik dan kokurikulum kepada para pelajar daerah Sebuyau yang akan membantu dalam menjalankan program akademik, aktiviti kokurikulum pelajar, serta program-program di bawah kelolaan PIBG.
Tambahnya, SMK Sebuyau dikategorikan sebagai 'sekolah fokus' yang memerlukan komitmen tinggi dan bantuan sumber kewangan bagi menyediakan pendidikan bermakna kepada pelajar.
Jelas beliau, pihak sekolah menyasarkan peningkatan enrolmen sehingga 95 orang pelajar bagi satu kelas pada masa akan datang.
“Selain itu, motivasi daripada ibu bapa dan masyarakat setempat amat diperlukan untuk menarik minat anak-anak menjadikan STEM sebagai laluan kerjaya masa depan,” ujarnya lagi.
Namun jelasnya, cabaran terbesar dalam memperkasakan STEM ini adalah kekurangan tenaga pengajar pakar seperti guru yang mempunyai kepakaran khusus sekali gus menjadi punca lemahnya pengukuhan STEM di sekolah-sekolah.
Ujarnya lagi, kehadiran guru pakar sangat penting kerana mereka merupakan faktor utama yang mampu menarik minat pelajar untuk melibatkan diri dalam program STEM. -EDISI UKAS