SEBUYAU: Sebanyak 22 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di kawasan Sebuyau menerima Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah keseluruhan RM280,000.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau Dato Sri Julaihi Narawi dalam satu majlis penyampaian yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Sebuyau pada Selasa.
Geran tersebut bagi menyokong usaha PIBG dalam memperkasakan pembangunan pendidikan serta kebajikan pelajar di sekolah masing-masing yang dijangka dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan termasuk menaik taraf kemudahan sekolah, pelaksanaan program akademik serta aktiviti pembangunan sahsiah pelajar.
Dato Sri Julaihi dalam ucapannya berkata, bantuan geran MRP ini diharap dapat memperkukuhkan lagi peranan tersebut serta meningkatkan kualiti pendidikan di kawasan luar bandar.
“PIBG memainkan peranan penting sebagai penghubung antara pihak sekolah dan komuniti setempat,” katanya.
Selain itu, Dato Sri turut menyampaikan Sumbangan Insentif Pendidikan Daerah Sebuyau berjumlah RM8,600 kepada 21 orang pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana di pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS).
Bantuan ini penghargaan kepada pelajar yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik di samping meringankan beban kewangan keluarga dalam menampung keperluan pendidikan.
Dato Sri Julaihi mengingatkan agar semua penerima menggunakan peruntukan yang diberikan secara berhemah, telus dan memberi manfaat maksimum kepada pelajar serta warga sekolah.
“Komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam membantu rakyat menerusi pelbagai inisiatif yang memberi manfaat terus kepada komuniti luar bandar, termasuk bidang pendidikan dan pembangunan masyarakat,” ujar beliau. -EDISI UKAS