Chee Chuan Khor Sri Aman Berjaya Raih RM7,000 Bantu Kanak-Kanak Jalani Rawatan Penyakit Pendarahan Otak.
SIMANGGANG: Pertubuhan Meninggikan Akhlak (PMA) Chee Chuan Khor Sri Aman telah berjaya mengumpul sebanyak RM7,000 bagi membantu menanggung kos rawatan seorang kanak-kanak yang mengalami penyakit pendarahan otak.
Pengerusinya, Temenggong Kueh Aik Seng berkata, kanak-kanak malang yang mengalami penyakit 'brain hemorrhage' itu dikenali sebagai Christ Hendrik Daniel, berusia 9 tahun 9 bulan, dari Rumah Elie, Kampung Sabu, Sri Aman.
"Setelah mendapat tahu penyakit yang sedang dihadapi oleh kanak-kanak terbabit, pihak kami segera melancarkan aktiviti kutipan derma dalam kalangan penduduk dekat sini bagi mengumpul wang untuk menanggung sebahagian daripada kos rawatannya.
"Hasil kutipan wang itu telah pun disampaikan oleh Ketua Masyarakat Iban Bahagian Sri Aman, Leonard Libau Abol kepada datuk kanak-kanak terbabit, Gerunsin Elie di bangunan pertubuhan kami di Jalan Bayu melalui satu upacara ringkas pada Isnin," katanya.
Kueh menambah, usaha ini membuktikan PMA Che Chuan Khor Sri Aman sentiasa berpegang teguh kepada prinsip pendidikan moral dan keagamaan selain menyeru kepada kebaikan, mengamalkan kebajikan serta membantu golongan yang memerlukan.
Melalui usaha ini katanya, keluarga Christ Hendrik telah memperoleh sokongan dan keprihatinan daripada semua pihak bagi mengurangkan beban kewangan mereka dalam mendapatkan peluang rawatan yang amat diperlukan. -EDISI UKAS