Komuniti Foochow Pemangkin Pembangunan Inklusif dan Seimbang di Sarikei
SARIKEI: Komuniti Foochow di daerah ini terus memainkan peranan penting sebagai pemacu pembangunan tempatan yang inklusif dan mampan, selaras dengan usaha memperkukuh kesejahteraan masyarakat berbilang kaum di Sarikei.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, menegaskan bahawa penglibatan aktif komuniti berkenaan dalam pelbagai sektor pembangunan telah menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi setempat.
Beliau berkata, sokongan berterusan masyarakat terhadap dasar-dasar kerajaan menjadi faktor penting dalam memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara terancang, lancar dan menyeluruh.
“Persatuan Foochow Sarikei memainkan peranan signifikan sebagai platform penyatuan komuniti, selain menjadi penggerak kepada pelbagai inisiatif sosial dan kebajikan,” katanya.
Ucapan beliau disampaikan oleh wakilnya, Penghulu Huang Tiong Kang, ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-27 persatuan berkenaan baru-baru ini.
Menurut beliau lagi, usaha persatuan dalam memperkasa pendidikan serta memelihara warisan budaya turut memberi nilai tambah kepada pembangunan masyarakat yang seimbang, khususnya dalam konteks perpaduan sosial.
Dalam pada itu, kerajaan Sarawak kekal komited melaksanakan dasar pembangunan yang menekankan keseimbangan antara kemajuan fizikal dan keharmonian sosial dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Dato’ Sri Huang turut merakamkan penghargaan kepada komuniti Foochow atas sumbangan berterusan mereka dalam bidang pendidikan, pembangunan dan aktiviti kemasyarakatan di Sarikei dan Meradong.
Beliau berharap lebih ramai golongan muda tampil menyertai persatuan itu bagi memastikan kesinambungan budaya serta memperkukuh peranan organisasi tersebut pada masa hadapan.- EDISI UKAS