Industri Karbon Berpotensi Pacu Ekonomi Baharu Luar Bandar di Kuala Rajang
SELALANG: Pembangunan industri karbon dilihat berpotensi menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan sosioekonomi penduduk luar bandar, khususnya di Kampung Selalang dan kawasan sekitarnya, selaras dengan keperluan mencari alternatif kepada sektor perkayuan yang semakin berkurangan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, pendekatan tersebut bukan sahaja mampu menggantikan sebahagian peranan industri tradisional, malah menyokong usaha kelestarian alam sekitar.
Menurut beliau, pembangunan industri karbon merupakan langkah strategik dalam memastikan kawasan hutan dan bakau terus terpelihara, di samping membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.
“Usaha ini bukan sahaja memberi nilai ekonomi, tetapi turut membantu memelihara ekosistem semula jadi yang penting kepada keseimbangan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Aidilfitri Bersama Pemimpin 2026 DUN Kuala Rajang yang berlangsung di Dewan Masyarakat Kampung Selalang, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan komitmen kerajaan dalam memperkasa pembangunan infrastruktur luar bandar, termasuk pembinaan anjung usahawan serta kemudahan sukan dan rekreasi bagi merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Katanya, penyediaan prasarana asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan kemudahan telekomunikasi yang baik adalah elemen penting dalam menyokong pembangunan berterusan di kawasan luar bandar.
“Kerjasama erat antara ketua kaum, pemimpin masyarakat dan penduduk amat penting bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan lancar serta memberi manfaat menyeluruh,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan di Kampung Selalang bagi meningkatkan taraf hidup penduduk serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti setempat.
Majlis tersebut turut dihadiri isteri beliau, Datin Asiah Awai, serta lebih 250 penduduk yang memeriahkan sambutan Aidilfitri dalam suasana penuh muhibah dan semangat kebersamaan.- EDISI UKAS