Ahli Parlimen Betong Santuni Mangsa Kebakaran di Kampung Tuie
DEBAK: Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu menziarahi mangsa kebakaran di Kampung Tuie, sebagai tanda keprihatinan terhadap penduduk yang terjejas akibat insiden kebakaran baru-baru ini.
Kejadian yang berlaku pada 22 Mac lalu sekitar jam 1.00 petang itu melibatkan tiga buah rumah, dengan sebuah daripadanya musnah sepenuhnya manakala dua lagi mengalami kerosakan kira-kira 30 peratus.
Dalam lawatan tersebut, beliau telah menghulurkan sumbangan kepada mangsa sebagai usaha membantu meringankan beban yang ditanggung, selain melengkapi bantuan yang telah disalurkan oleh agensi kerajaan termasuk Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi menyelamat dan pengawalan keadaan, termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Debak, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta anggota RELA dan penduduk kampung atas tindakan pantas dan kerjasama yang diberikan.
“Semoga semua mangsa diberikan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi ujian ini,” katanya.
Lawatan turut dihadiri Pegawai UKAS Bahagian Betong, Tony Malang Chabu; Penghulu Kampung Tuie, Penghulu Marawi Ais; Ketua Kampung Tuie, KK Kamaludin Brahim; serta Ahli Majlis Daerah Betong, Kaunselor Sufian Omar.
Seramai kira-kira 20 orang hadir dalam program anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Betong tersebut.- EDISI UKAS