Peruntukan RM180,000 Perkasa Infrastruktur Luar Bandar di Meradong
BINTANGOR: Program Transformasi Luar Bandar (RTP) terus memainkan peranan signifikan sebagai pemangkin pembangunan kawasan luar bandar dengan menumpukan kepada penyediaan kemudahan asas serta peningkatan kesejahteraan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, lebih RM180,000 telah diperuntukkan bagi melaksanakan beberapa projek pembangunan baharu di kawasan Meradong.
Menurut beliau, pelaksanaan projek berkenaan dirancang secara menyeluruh bagi memenuhi keperluan semasa penduduk, khususnya dalam aspek kemudahan awam dan infrastruktur komuniti.
“Antara projek yang diberi keutamaan ialah kerja menaik taraf kemudahan di Gereja St James yang menerima peruntukan sebanyak RM80,000,” katanya.
Beliau berkata, projek tersebut melibatkan penambahbaikan bangunan serbaguna sedia ada bagi memastikan kemudahan itu lebih selesa dan selamat digunakan oleh masyarakat.
Tambahnya, kemudahan berkenaan akan dimanfaatkan oleh penduduk setempat untuk pelbagai aktiviti keagamaan serta program kemasyarakatan.
Dalam pada itu, sebanyak RM50,000 diperuntukkan bagi pembinaan dewan serbaguna di Rumah Peter, Mador Ili yang dijangka menjadi pusat aktiviti komuniti serta mengeratkan hubungan sosial dalam kalangan penduduk rumah panjang.
Selain itu, satu lagi projek melibatkan kerja meratakan kawasan parkir di Rumah Murieng, Sungai Kotak turut dilaksanakan dengan kos RM50,000 bagi meningkatkan kemudahan akses serta keselamatan penduduk, khususnya ketika berdepan keadaan cuaca tidak menentu.
“Inisiatif ini selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan pembangunan luar bandar terus inklusif dan menyeluruh,” ujarnya.- EDISI UKAS