Enam Wakil Rakyat Serikan Peringatan Hari Polis IPD Sri Aman
SIMANGGANG: Peringatan Hari Polis Ke-219 Tahun 2026 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman mencatat sejarah tersendiri apabila menerima kehadiran enam wakil rakyat, sekali gus menyerlahkan sokongan padu kepimpinan terhadap pasukan keselamatan negara.
Hadir memeriahkan upacara tersebut ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis serta Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan.
Turut hadir, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor serta ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa.
Kesemua wakil rakyat itu tiba di padang kawad IPD Sri Aman sekitar jam 3.45 petang diikuti ketibaan Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam pada jam 4 petang bagi memulakan upacara.
Perhimpunan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, Ibu Pertiwiku dan Sang Saka, diikuti Lafaz Ikrar Taat Setia sebelum Dennis menyampaikan perutusan Ketua Polis Negara, Inspektor Jeneral Dato’ Sri Mohd Khalid Ismail.
Majlis diteruskan dengan penyematan pangkat melibatkan Sarjan Mejar Thomas Law, Sarjan Rhodney Ro Dri Gues Usop dan Sarjan Stanley Changgan Eddy.
Selain itu, Sijil Penghargaan turut disampaikan kepada Inspektor Muhamad Nazim Mohd Jafri, Sub Inspektor Ariffin Sabang, Sarjan Mejar Abang Ridzuan Abang Haid, Sarjan Richmond Jins Sempurai, Sarjan Nicholas Lee Lipi, Sarjan Fernando Libai, Sarjan Peter Rajesh Wilson Lingkong, Sarjan Mclister Alexis Sellie dan Sarjan Mohamad Alias Mohdar.
Majlis yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Neil Beginda itu diakhiri dengan sesi bergambar kenangan bersama wakil rakyat dan warga IPD Sri Aman.
Sementara itu, Dennis ketika ditemui media memaklumkan sebanyak 103 tangkapan kes dadah direkodkan di daerah Sri Aman bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.
Daripada jumlah tersebut, 16 kes melibatkan pemilikan dadah manakala 87 kes lagi membabitkan penyalahgunaan dadah, yang disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut beliau, pihak polis turut memberi fokus terhadap penagih berulang, dengan sebahagian kes disiasat di bawah Seksyen 39C akta sama.
“Pesalah yang disabitkan kesalahan menggunakan dadah secara berulang melebihi dua kali boleh dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum tujuh tahun serta sebatan tidak melebihi tiga kali,” jelasnya.
Tambah beliau, IPD Sri Aman terus mempergiat penguatkuasaan melalui pelaksanaan Ops Tapis Khas dengan moto ‘Tiada Hari Tanpa Tangkapan Kes Dadah’.
“Walaupun terdapat sedikit peningkatan kes berbanding tahun lalu, situasi pemilikan dan penyalahgunaan dadah di Sri Aman masih berada dalam keadaan terkawal hasil penguatkuasaan berterusan,” katanya.-EDISI UKAS