![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
Di sebalik setiap jalan raya dan jambatan yang menghubungkan kampung , rumah panjang dengan bandar, setiap sekolah yang memberi sinar ilmu kepada anak-anak, dan setiap peluang ekonomi yang membuka pintu rezeki dan masa depan yang lebih baik, sebenarnya wujud satu elemen penting yang sering tidak disedari oleh orang ramai iaitu kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak. Kerjasama inilah yang menjadi nadi kepada pembangunan yang lebih seimbang, inklusif dan mampan untuk rakyat.
Sarawak merupakan negeri terbesar di Malaysia dengan kekayaan sumber alam, kepelbagaian budaya dan potensi ekonomi yang besar. Namun, keluasan geografi dan cabaran pembangunan luar bandar menjadikan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amat penting. Hubungan yang saling menghormati selaras dengan apa yang termaktub dalam Perjanjian MA63 serta kesediaan untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang telah membuka ruang kepada pelaksanaan pelbagai projek pembangunan yang memberi manfaat terus kepada rakyat.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pendekatan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak semakin diperkukuhkan. Ia bukan sahaja melibatkan aspek pembangunan fizikal seperti infrastruktur dan kemudahan awam, malah merangkumi bidang pendidikan, kesihatan, ekonomi digital serta kesejahteraan sosial rakyat.
Salah satu hasil paling jelas daripada kerjasama ini dapat dilihat melalui pembangunan infrastruktur di Sarawak. Projek-projek jalan raya, jambatan, bekalan elektrik dan air bersih yang dilaksanakan secara bersama telah membuka peluang kepada masyarakat luar bandar untuk menikmati kemudahan yang lebih baik. Lebih 403 projek pembangunan di Sarawak bernilai kira-kira RM21.73 bilion dilaksanakan melalui kerjasama kementerian persekutuan dan agensi negeri.
Pembinaan jalan raya baharu, misalnya, bukan sekadar memudahkan perjalanan, tetapi turut merangsang aktiviti ekonomi setempat. Apabila akses menjadi lebih mudah, produk tempatan dapat dipasarkan dengan lebih meluas, pelaburan dapat ditarik masuk, dan peluang pekerjaan baharu dapat diwujudkan.
Kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak juga memberi penekanan besar kepada pembangunan pendidikan dan perubatan. Sekolah-sekolah baharu dibina, sekolah daif dibaik pulih, dan kemudahan pembelajaran ditambah baik demi memastikan anak-anak Sarawak mendapat peluang pendidikan yang berkualiti. Selain itu, pelbagai inisiatif latihan kemahiran dan pembangunan modal insan turut dilaksanakan bagi menyediakan generasi muda menghadapi cabaran ekonomi masa depan. Pendidikan bukan sekadar tentang akademik, tetapi juga tentang membina generasi yang berdaya saing, berilmu dan berakhlak.
Dalam bidang perubatan pula, Sarawak Cancer Centre merupakan pusat rawatan kanser pertama yang berskala besar di Sarawak dengan kapasiti sekitar 310 katil. Projek ini merupakan kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kerajaan Sarawak. Mengurangkan keperluan pesakit Sarawak mendapatkan rawatan di Semenanjung.
Dalam era ekonomi digital dan teknologi hijau, Sarawak juga sedang melangkah ke hadapan dengan pelbagai agenda pembangunan baharu. Usaha ini turut disokong oleh kerajaan Persekutuan melalui pelaburan, dasar pembangunan serta kerjasama strategik. Projek sistem kabel dasar laut sepanjang kira-kira 3,190 km yang menghubungkan Johor, Sarawak dan Sabah. Projek ini dijangka meningkatkan kapasiti internet dan komunikasi digital di Malaysia Timur. Ini dapat menyokong Plan Pembangunan Ekonomi DIgital oleh Sarawak Digital Economy Corporation dan galakan pembayaran digital melalui S-Pay Global oleh rakyat Sarawak dalam urusan seharian.
Pembangunan sektor tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital dan industri berteknologi tinggi membuka peluang besar kepada Sarawak untuk menjadi antara pusat pertumbuhan ekonomi baharu di rantau ini. Pada masa yang sama, pelbagai bantuan sosial dan program kesejahteraan rakyat dilaksanakan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan.
Hakikatnya, kejayaan pembangunan tidak boleh dicapai oleh satu pihak sahaja. Ia memerlukan semangat kebersamaan, kepercayaan dan komitmen yang berterusan. Kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak membuktikan bahawa apabila kedua-dua pihak berganding bahu, agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat.
Rakyat Sarawak pastinya berharap agar hubungan kerjasama ini terus diperkukuhkan. Dengan sokongan padu daripada kedua-dua pihak kerana Sarawak berpotensi menjadi negeri yang lebih maju, sejahtera dan makmur. Apabila pembangunan dirancang dengan bijaksana dan dilaksanakan dengan semangat muafakat, masa depan yang lebih cerah untuk rakyat Sarawak dan Malaysia bukan lagi sekadar harapan, tetapi satu realiti yang sedang dibina bersama. Bak kata Premier YAB Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg, MUN SARAWAK MAJU MALAYSIA PUN MAJU. SARAWAK HATINYA MALAYSIA.