SIMANGGANG: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang diseru agar terus menghargai dan memelihara kemudahan yang disediakan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) demi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, sikap bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan serta keselamatan projek RTP amat penting supaya setiap kemudahan yang dibina kekal berfungsi dan memberi impak jangka panjang kepada komuniti.
Ini kerana menurut beliau, pelaksanaan RTP telah membawa perubahan ketara kepada kehidupan penduduk luar bandar melalui penyediaan pelbagai kemudahan asas seperti dewan serbaguna, balai raya, gelanggang sukan, jambatan konkrit dan jalan desa.
“RTP bukan sekadar projek fizikal, sebaliknya merupakan satu amanah yang perlu dipelihara bersama. Apabila kemudahan ini dihargai, barulah pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memberi makna kepada kehidupan rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menegaskan bahawa kemudahan RTP turut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Francis Harden turut mengadakan lawatan ke tapak pembinaan rumah panjang baharu Rumah Sri Empaga, San Demam Asal yang dibangunkan di bawah Skim Pinjaman Rumah Panjang oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).
Projek yang bermula pada tahun 2023 itu melibatkan kos sebanyak RM30,000 dengan pembinaan 11 pintu rumah panjang dan kini mencapai kemajuan sekitar 40 peratus.
Selain itu, beliau turut meninjau projek naik taraf Balai Raya Rumah Encharang, Klassen Sekula bernilai RM100,000 dengan Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) sebagai agensi pelaksana.
Lawatan tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan mengikut perancangan serta memberi manfaat optimum kepada rakyat setempat. -EDISI UKAS