![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
Ketika persoalan kos sara hidup meningkat sering menjadi topik utama perbualan rakyat Malaysia, satu berita baik muncul dari Bumi Kenyalang. Kerajaan negeri Sarawak memperkenalkan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026, Ia adalah satu inisiatif bantuan tunai bersasar yang memperlihatkan keprihatinan tinggi terhadap kesejahteraan rakyat. Inisiatif ini melibatkan peruntukan sebanyak RM640 juta untuk membantu rakyat Sarawak mendapatkan barangan makanan asas melalui baucar digital yang disalurkan menerusi aplikasi S Pay Global.
Langkah ini jelas membuktikan bahawa Sarawak bukan sahaja maju dari segi pembangunan fizikal, malah turut memberi perhatian besar kepada kebajikan rakyatnya. Bantuan ini akan mula disalurkan bermula 10 Mac 2026 secara berperingkat dan akan diagihkan sebanyak tiga kali setahun, iaitu setiap empat bulan sekali. Dengan kaedah pengagihan yang menggunakan sistem e wallet, SKAS juga mencerminkan usaha kerajaan negeri untuk membiasakan rakyat untuk berurusan dengan sistem pembayaran atas talian supaya dapat bergerak seiring dengan arus digitalisasi dan ekonomi tanpa tunai.
Apa yang menjadikan SKAS begitu istimewa ialah pendekatan bantuan yang bersasar. Program ini memfokuskan terus kepada rakyat Sarawak yang benar-benar memerlukan, khususnya mereka yang telah dikenal pasti sebagai penerima Sumbangan Tunai Rahmah dan golongan B40. Ini bermakna bantuan tidak disalurkan secara rawak, sebaliknya melalui sistem saringan yang mengambil kira keadaan ekonomi penerima. Keutamaan diberikan kepada anak Sarawak yang memiliki kad pengenalan berstatus ‘K’, menetap di negeri Sarawak, serta tersenarai sebagai penerima STR Fasa 4 tahun 2024.
Bagi rakyat Sarawak, bantuan seperti ini bukan sekadar sokongan kewangan, tetapi juga simbol bahawa kerajaan Sarawak memahami realiti kehidupan harian rakyat. Harga barang makanan yang semakin meningkat memberi kesan kepada banyak keluarga, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Dengan inisiatif SKAS, mereka sekurang-kurangnya mempunyai sedikit ruang bernafas untuk memastikan dapur di rumah terus berasap dan atas meja ada makanan untuk isi rumah dijamah serta keperluan asas keluarga dapat dipenuhi.
Penggunaan baucar digital juga membawa satu perubahan menarik dalam cara bantuan disalurkan. Jika dahulu bantuan tunai sering diberikan secara fizikal atau melalui akaun bank, kini rakyat boleh menggunakan aplikasi e-wallet untuk membeli barangan makanan asas secara terus. Kaedah ini bukan sahaja lebih mudah, malah membantu meningkatkan literasi digital dalam kalangan masyarakat. Dalam masa yang sama, ia juga mengurangkan risiko ketirisan serta memastikan bantuan benar-benar digunakan untuk tujuan yang ditetapkan.
Inisiatif seperti SKAS turut memperlihatkan kekuatan pengurusan kewangan negeri Sarawak. Tidak semua negeri mampu memperuntukkan ratusan juta ringgit bagi membantu rakyat secara langsung. Namun Sarawak berjaya melakukannya hasil daripada pengurusan sumber yang baik serta komitmen kerajaan negeri untuk memastikan kekayaan negeri turut dinikmati oleh rakyat. Ini menjadikan rakyat Sarawak antara golongan yang cukup bertuah kerana memiliki kerajaan negeri yang proaktif dalam menjaga kebajikan masyarakat.
Dalam konteks yang lebih luas, SKAS bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata. Ia adalah satu bentuk pelaburan sosial yang memberi kesan jangka panjang kepada kesejahteraan rakyat. Apabila keperluan asas rakyat terjamin, mereka dapat menumpukan perhatian kepada perkara lain seperti pendidikan anak-anak, kesihatan keluarga dan peningkatan taraf hidup.
Sesungguhnya, pelaksanaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak 2026 menjadi bukti kerajaan Sarawak pimpinan GPS melaksanakan dasar yang berpaksikan rakyat yang mampu memberi impak besar kepada kehidupan masyarakat. Bagi rakyat Sarawak, bantuan ini bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi satu nikmat yang perlu disyukuri dengan berterima kasih dengan usaha kerajaan GPS Sarawak . Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, SKAS hadir sebagai bukti bahawa rakyat Sarawak benar-benar bertuah kerana memiliki kerajaan yang sentiasa berusaha memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.