Operasi 'Water Bombing' Dipertingkat, Kebakaran Hutan Kuala Tatau Masuk Hari Kelima
TATAU: Operasi pemadaman kebakaran hutan di Kuala Tatau terus dipergiat apabila insiden yang bermula sejak Isnin lalu kini memasuki hari kelima dengan usaha 'water bombing' dipertingkat bagi mengekang api daripada terus merebak.
Seramai 30 anggota bomba terlibat dalam operasi tersebut, termasuk 17 daripada Pasukan Bomba Udara dengan sebanyak 40 pusingan 'water bombing' telah dilaksanakan setakat ini, khususnya di kawasan pedalaman yang sukar diakses melalui darat.
Setakat semalam, kebakaran dianggarkan melibatkan kawasan seluas lima hektar, dengan tiga hektar berjaya dikawal, manakala baki dua hektar di kawasan hutan tebal masih dalam usaha pemadaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee bersama Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong turut meninjau lokasi kejadian menggunakan helikopter pada Khamis, selain menyampaikan bantuan makanan dan minuman kepada anggota di lapangan.
Dalam pada itu, Iskandar mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka, khususnya dalam keadaan cuaca panas dan kering yang boleh meningkatkan risiko kebakaran hutan.
Pihak bomba akan terus memantau situasi dan memastikan operasi pemadaman dilaksanakan secara berterusan sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.-EDISI UKAS