Projek Naik Taraf Gelanggang Bola Keranjang Taman Bulatan Siap Sepenuhnya
MIRI: Projek naik taraf gelanggang bola keranjang di Taman Bulatan yang dilaksanakan menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh Shin Yang Group kini siap sepenuhnya dan diserahkan secara rasmi kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM), sekali gus memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat.
Majlis penyerahan projek itu disempurnakan di antara Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Shin Yang Group, Datuk James Ling Lu Kiong menyerahkan kemudahan tersebut kepada Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang, serta disaksikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) merangkap ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew yang berlangsung di Gelanggang Bola Keranjang Taman Bulatan, pada petang Rabu.
Berucap dalam majlis tersebut, Datuk Sebastian berkata, projek naik taraf gelanggang bola keranjang berkenaan merupakan antara projek terbaik yang dilaksanakan di bawah program CSR, bukan sahaja dari segi kualiti pembinaan malah turut menampilkan reka bentuk moden dan nilai estetika yang tinggi.
"Sentuhan mural serta kemudahan moden yang disediakan turut menjadikan kawasan berkenaan lebih menarik dan berpotensi sebagai lokasi riadah serta tumpuan orang ramai," katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, semua kemudahan yang disediakan adalah untuk kegunaan awam dan perlu dipelihara bersama agar dapat dimanfaatkan dalam jangka masa panjang.
Beliau berharap orang ramai akan menjaga semua kemudahan ini dengan sebaiknya dan tidak melakukan vandalisme
Jelasnya, Ini adalah tanggungjawab bersama supaya kemudahan ini kekal dalam keadaan baik untuk generasi akan datang.
Sementara itu, Adam Yii Siew Sang ketika berucap berkata, pihak MBM amat mengalu-alukan penyerahan projek yang telah siap sepenuhnya oleh Shin Yang Group melalui wakilnya, Datuk James Ling Lu Kiong.
Beliau menyifatkan masyarakat Miri sebagai bertuah kerana mempunyai syarikat korporat yang prihatin dan komited dalam menyumbang kepada pembangunan kemudahan awam. -EDISI UKAS