LAWAS: Kawasan Trusan kini memberi tumpuan kepada agenda pembangunan infrastruktur sebagai keutamaan utama menerusi pelaksanaan pelbagai projek strategik yang dirangka untuk memperkukuh kemudahan asas, mempertingkat kesejahteraan rakyat serta merancakkan pertumbuhan sosioekonomi setempat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan berkata, antara projek utama yang sedang diberi perhatian ialah pelaksanaan fasa pertama Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) yang kini telah mencapai 70 peratus siap, sekali gus menjadi pemangkin penting kepada jaringan perhubungan dan pembangunan kawasan Trusan pada masa hadapan.
Selain itu, beliau memaklumkan pelan pembangunan tempatan Trusan bagi tahun ini dengan peruntukan bajet RM47 juta, yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan infrastruktur utama, pejabat daerah kecil Trusan, serta pembinaan Masjid baru yang menjadi keutamaan.
"Kemudahan komersial seperti Anjung Usahawan dan Petros Station juga disediakan, selain usaha menjadikan kawasan Trusan sebagai Wetland Park," katanya berucap semasa berkunjung ke kediaman Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jienal Abedin Dato Pengiran Jawa pada Rabu.
Dari segi perumahan tambahnya, fasa pertama pelan pembangunan akan menyediakan 50 lot rumah yang akan diperluas hampir 100 lot, termasuk penempatan semula kampung.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu menekankan bahawa Hari Raya merupakan masa untuk menyatukan masyarakat, walaupun berlatar belakang berbilang kaum dan agama.
"Saya berharap semangat perpaduan, saling menghormati, dan toleransi terus dipupuk demi pembangunan Trusan yang sejahtera," jelas beliau. -EDISI UKAS