JKKK Batu Minggu Diperkasa, Datuk Francis Harden Kongsi Inisiatif Terkini Kerajaan Sarawak
SIMANGGANG: Dalam usaha memperkasakan peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu Minggu selaku penghubung utama antara rakyat dan kerajaan, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis telah berkongsi inisiatif terkini dilaksanakan oleh kerajaan negeri ini.
Perkongsian berkenaan dibuat dalam satu kunjungan hormat oleh jawatankuasa berkenaan ke atas beliau melibatkan seramai 13 ahli JKKK Batu Minggu yang diketuai pengerusinya, Taim Kubong.
Dalam pertemuan itu, beliau menekankan kepentingan tadbir urus JKKK yang sistematik, termasuk keperluan merekod minit mesyuarat secara teratur untuk dikemukakan kepada Pejabat Daerah atau Pejabat Residen bagi tujuan tuntutan rasmi seperti elaun mesyuarat, peruntukan pembangunan kampung serta permohonan bantuan kebajikan dan projek kecil kerajaan.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu turut memberikan penerangan mengenai pelbagai inisiatif kerajaan negeri yang boleh dimanfaatkan penduduk, antaranya kemudahan pinjaman rumah panjang sehingga RM50,000, tertakluk kepada pemilikan lot tanah yang sah serta persetujuan penuh komuniti.
Selain itu, beliau menjelaskan komitmen kerajaan dalam menyediakan pendidikan percuma kepada anak-anak Sarawak yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di universiti tempatan di negeri ini.
Dalam aspek kebajikan, beliau turut menyentuh manfaat Kad Emas Kenyalang, termasuk bantuan khairat kematian sebanyak RM1,800 serta diskaun rawatan di klinik swasta, sebagai usaha meningkatkan kesejahteraan golongan warga emas.
“Kerajaan Sarawak menyediakan pelbagai kemudahan dan manfaat, namun keberkesanannya bergantung kepada peranan aktif JKKK dalam memastikan maklumat disampaikan dengan tepat serta akses bantuan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
“Saya percaya kita mampu membina komuniti yang lebih maju, bersatu dan sejahtera sekali gus memastikan pembangunan yang adil dan menyeluruh,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap JKKK Batu Minggu terus memperkukuh fungsi sebagai jambatan komunikasi antara rakyat dan kerajaan, di samping memainkan peranan proaktif dalam memperkasa kesejahteraan komuniti setempat. -EDISI UKAS