Tindakan Proaktif Kesan Individu Belum Terima Bantuan Kebajikan
KUCHING: Tindakan proaktif dalam mengesan individu yang masih belum menerima bantuan kebajikan perlu terus diperkasa di peringkat komuniti bagi memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima bantuan sewajarnya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Sri Nancy Shukri berkata, masih terdapat segelintir individu yang layak namun belum tersenarai dalam sistem bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurut beliau, kekangan tersebut menuntut penglibatan aktif ketua masyarakat, pemimpin tempatan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu mengenal pasti golongan sasar.
“Saya mengambil peluang ini untuk ketua masyarakat yang berada di kampung supaya melihat keadaan sekeliling anda kerana masih ada penduduk kampung yang belum menerima bantuan di mana mereka tidak berkemampuan.
“Jadi mohon mereka untuk membantu memaklumkan kepada pejabat JKM yang berdekatan. JKM ini berada di setiap daerah. Itu cara kita membantu cuma kita tidak berada di setiap rumah, jadi kita tidak tahu keadaan sebenar.
“Sebab itu peranan pemimpin kampung, sama ada pemimpin parti, NGO atau ketua-ketua masyarakat, untuk menyalurkan maklumat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya bantuan dapat diberikan. Mereka akan datang membuat siasatan, kemudian akan menguruskan proses permohonan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi Ziarah Kasih di Kampung Tabuan Lot, di sini, pada Khamis yang melibatkan penyerahan bantuan kepada tiga penerima termasuk seorang individu yang sebelum ini belum pernah menerima sebarang bantuan.
Dalam lawatan tersebut, setiap penerima menerima sumbangan tunai sebanyak RM500 daripada Pejabat Parlimen Santubong, selain RM300 daripada Yayasan Kebajikan Negara (YKN), dua unit kerusi roda serta bakul makanan sempena Aidilfitri.
Dato Sri Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong menegaskan bahawa usaha mengesan golongan tercicir tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada agensi kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan keprihatinan komuniti setempat untuk tampil menyalurkan maklumat dengan lebih cepat dan tepat.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, sehingga Januari 2026, sebanyak 556,521 kes bantuan telah disalurkan di seluruh negara melibatkan peruntukan berjumlah RM252 juta.
Daripada jumlah tersebut, katanya, seramai 165,944 penerima terdiri daripada warga emas, manakala 251,132 lagi adalah dalam kalangan orang kurang upaya (OKU).-EDISI UKAS