Kaji Semula Mekanisme Harga Bahan Api, Tangani Tekanan Kos Logistik
MIRI: Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Miri menggesa kerajaan Persekutuan meneliti semula mekanisme kawalan harga bahan api serta kos logistik susulan tekanan berterusan terhadap kos operasi usahawan akibat kenaikan harga bahan mentah dan kos penghantaran.
Pengerusinya, Mohammad Hafidz Rohani berkata, peningkatan harga bahan api di peringkat global memberi kesan berantai kepada kos logistik domestik, khususnya di kawasan seperti Miri yang bergantung kepada laluan penghantaran melalui pelabuhan utama seperti Kuching dan Bintulu.
“Peningkatan kos ini tidak lagi boleh diserap sepenuhnya tanpa pelarasan harga atau perubahan model operasi.
“Kerajaan Persekutuan perlu meneliti semula mekanisme kawalan harga bahan api dan kos logistik, termasuk memastikan kestabilan harga diesel yang kritikal kepada rantaian bekalan di Sabah dan Sarawak.
“Langkah bersasar perlu dipertingkat bagi mengurangkan kesan kos import dan pengangkutan terhadap peniaga kecil,” katanya ketika ditemui pemberita UKAS pada majlis rumah terbuka di sini, pada Khamis.
Tambah beliau, DUBS Miri turut menerima laporan berkaitan kelewatan penghantaran serta ketidakstabilan bekalan, khususnya melibatkan barangan import selain peningkatan harga bahan mentah.
Katanya, situasi tersebut memberi tekanan tambahan kepada peniaga dalam memastikan kelangsungan operasi harian.
Dalam pada itu, beliau berpandangan Kerajaan Sarawak mempunyai peranan penting dalam memperkukuh ekosistem domestik termasuk memperluas infrastruktur logistik, menyokong pembangunan pembekal tempatan serta mempercepat inisiatif yang mampu mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar.
Sementara itu, Mohammad Hafidz turut menggalakkan usahawan tempatan beralih kepada penggunaan bahan tempatan serta mengadaptasi model perniagaan yang lebih berdaya tahan terhadap gangguan rantaian bekalan global.
“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, keupayaan menyesuaikan diri menjadi faktor penentu.
“Usahawan yang mampu mengurus kos secara berdisiplin, berinovasi serta membina kerjasama strategik akan lebih berdaya tahan,” katanya. -EDISI UKAS