Sesi Dialog Kelab Belia, Persatuan Sukan Sarawak Perkasa Akses Dana
KUCHING: Lebih 80 kelab belia dan persatuan sukan dari seluruh Sarawak menyertai sesi dialog di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak di sini pada Khamis dengan tumpuan kepada penyelesaian isu lapangan serta akses kepada bantuan dana.
Sesi tersebut menjadi platform penting bagi pihak kementerian mendengar secara langsung cabaran yang dihadapi kelab belia dan persatuan sukan, di samping merapatkan jurang komunikasi antara kerajaan dan komuniti sukan.
Dalam masa sama, dialog berkenaan turut memperkukuh usaha memastikan pembangunan sukan di negeri ini dilaksanakan secara inklusif, tersusun dan berimpak tinggi.
Antara fokus utama ialah perkongsian maklumat berkaitan dana dan bantuan di bawah Kementerian Belia dan Sukan melalui Pesuruhjaya Sukan serta Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia termasuk tatacara permohonan dan syarat kelayakan yang ditetapkan.
Menariknya, bagi tahun ini, kemudahan dana turut diperluas kepada kelab yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan tertakluk kepada garis panduan tertentu.
Penganjuran sesi dialog seumpama ini dilihat sebagai langkah strategik dalam menyantuni keperluan kelab belia dan persatuan sukan, sekali gus memperkukuh ekosistem pembangunan sukan negeri serta memastikan akses bantuan kewangan yang lebih adil dan menyeluruh.
Selain itu, sesi berkenaan turut membuka ruang kepada peserta untuk mengemukakan cadangan, mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan kemudahan dana, serta memperkukuh kerjasama strategik dalam meningkatkan keberkesanan pelaksanaan program sukan di Sarawak.
Sesi dialog itu dihadiri oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol.-EDISI UKAS