APM 2026: Sarawak Perkukuh Kedudukan Industri Maritim Di Pentas Global
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh kedudukannya menjadi antara pemain industri maritim serantau menerusi penyertaan di Asia Pacific Maritime (APM) 2026 yang berlangsung di Singapura, sekali gus membuka ruang luas kepada pelaburan dan kerjasama antarabangsa.
Penyertaan menerusi Pavilion Sarawak yang diterajui bersama Persatuan Industri Maritim Sarawak (SAMIN) dan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) menampilkan keupayaan negeri dalam bidang pembinaan kapal, kejuruteraan marin serta perkhidmatan luar pesisir di platform pameran maritim terkemuka Asia itu.
Presiden SAMIN, Ling Tiu Khing berkata, industri pembinaan kapal di Sarawak kini menunjukkan peningkatan ketara dari segi keupayaan, didorong oleh penggunaan teknologi baharu, pengukuhan kemahiran teknikal serta penambahbaikan fasiliti limbungan.
Menurutnya, pemain industri tempatan komited memenuhi piawaian antarabangsa selaras dengan peningkatan permintaan terhadap pembinaan kapal baharu di pasaran global.
“APM menyediakan platform penting untuk Sarawak mempamerkan kekuatan industri, menjalin hubungan dengan pemain global serta meningkatkan keterlihatan industri maritim negeri,” katanya menerusi satu kenyataan media, pada Khamis.
Terdahulu, majlis perasmian pavilion berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee bersama Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Datu Lester Matthew, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa kehadiran Sarawak di peringkat antarabangsa.
Berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Mac di Marina Bay Sands Expo and Convention Centre, program berprestij itu menghimpunkan lebih 20,000 pemain industri, 750 pempamer global serta lebih 150 pakar, sekali gus menjadi platform strategik untuk Sarawak memperluas jaringan kerjasama dan menarik pelaburan baharu.
Pavilion Sarawak turut menampilkan penyertaan beberapa syarikat tempatan yang mempamerkan kepakaran dalam reka bentuk dan pembinaan kapal, perkhidmatan sokongan luar pesisir serta penyelesaian marin.
Penyertaan ini juga selari dengan usaha kerajaan negeri dalam merangsang pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya dalam sektor teknikal dan industri.
Seiring perkembangan semasa, Sarawak turut memberi penekanan terhadap aspek kelestarian melalui penerapan teknologi hijau, inovasi serta peningkatan kecekapan operasi dalam industri maritim.
Dalam masa sama, SAMIN terus memainkan peranan penting sebagai pemangkin pembangunan industri maritim negeri melalui pengukuhan kerjasama antara pemain industri serta mempromosikan Sarawak di peringkat antarabangsa. -EDISI UKAS