Sarawak Pamer Agenda Kelestarian & Peralihan Tenaga Di Pentas Global
BANGKOK: Komitmen Sarawak dalam memperkasa agenda kelestarian dan peralihan tenaga terus dipamerkan di pentas antarabangsa menerusi penyertaan dalam Minggu Kelestarian Asia (Sustainability Week Asia) 2026 yang berlangsung di Bangkok, Thailand.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni mewakili Malaysia pada persidangan tersebut dengan menyertai dua sesi utama yang membincangkan isu berkaitan kelestarian, peralihan tenaga dan pemeliharaan biodiversiti.
Pada sesi pertama yang berlangsung pada 24 Mac, beliau mengambil bahagian dalam Dinner Roundtable Dialogue bertemakan ‘Nature and the Bottom Line: Risk, Resilience & Growth’, yang memberi tumpuan kepada penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan pemuliharaan biodiversiti.
Sementara itu, pada 26 Mac, Datuk Dr Hazland turut terlibat dalam sesi Ministerial Interview dengan topik ‘Resources to Resilience: Sarawak Leadership in Energy Transition and Environmental Sustainability’.
Beliau berkongsi pendekatan Sarawak merangkumi aspek kawal selia, teknikal, kewangan serta sumber manusia dalam memanfaatkan sumber semula jadi secara mampan dan kerjasama dengan bakal rakan kongsi teknikal dan pelabur, khususnya dalam mendepani krisis tenaga global yang menjadi titik perubahan kepada usaha peralihan tenaga dengan mengurangkan kebergantungan terhadap minyak dan gas.
Minggu Kelestarian Asia 2026 Bangkok merupakan salah satu persidangan berprestij di rantau Asia Pasifik yang memberi tumpuan kepada kelestarian, dasar iklim dan ekonomi hijau.
Persidangan tersebut menghimpunkan kira-kira 1,000 pemimpin kerajaan, pembuat dasar dan pemain-pemain industri bagi membincangkan pendekatan mempercepatkan peralihan ke arah pelepasan sifar bersih dan ekonomi rendah karbon.-EDISI UKAS