PDRM Komited Perkasa Jalinan Kerjasama Masyarakat Demi Ketenteraman Awam
LIMBANG: Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus komited memperkasakan jalinan kerjasama bersama masyarakat sebagai teras utama dalam memastikan ketenteraman awam serta keselamatan negara sentiasa berada pada tahap terbaik.
Pendekatan keselamatan komuniti kekal menjadi agenda utama pasukan dalam usaha memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati kehidupan yang aman dan sejahtera dengan penuh keyakinan.
Ketua Polis Negara, Dato Sri Mohd Khalid Ismail menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Polis Daerah Limbang, Supt. Parum Niot berkata, tema “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada” yang diperkenalkan sejak 2015 masih relevan kerana mencerminkan hubungan simbiotik antara pasukan polis dan rakyat.
“Pasukan akan terus memperkukuh hubungan dengan semua pihak berkepentingan bagi mengekalkan kepercayaan terhadap keupayaan PDRM sebagai pasukan keramat negara,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 Tahun 2026 yang berlangsung di Limbang, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa PDRM kini sedang melangkah ke arah transformasi lebih profesional dan cekap selaras dengan cabaran era digitalisasi yang semakin kompleks.
Menurutnya, setiap tindakan dan keputusan yang diambil oleh pasukan sentiasa berlandaskan prinsip integriti tinggi serta pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi menjamin kedaulatan institusi keselamatan tersebut.
“Berpaksikan tiga fokus utama Ketua Polis Negara bersama tujuh hala tuju dan 10 agenda transformasi PDRM, seluruh warga Sang Saka Biru akan terus memperbaharui tekad dalam memperkukuh keupayaan pasukan sebagai entiti yang disegani,” jelasnya.
Tambah beliau, PDRM turut menyatakan sokongan padu terhadap aspirasi Kerajaan MADANI dalam menjunjung kedaulatan Raja dan Negara menerusi pelaksanaan pelan strategik yang konstruktif.
Sempena sambutan tersebut, penghargaan turut dizahirkan kepada seluruh warga pasukan, barisan hadapan serta pesara polis atas jasa dan pengorbanan mereka dalam memastikan keamanan negara terus terpelihara.
Hadir sama wakil Residen Bahagian Limbang, Marie Cotilla Lousie, wakil Pegawai Daerah Limbang, Mariati Samat, Timbalan Ketua Polis Daerah Limbang, Peter Jumat, wakil Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Limbang, Warner Sikat, Pengerusi PERKEP, Minah Giyang serta Naib Pengerusi PERKEP Limbang, Annie Roland Blassan.-EDISI UKAS