Bantuan Kerusi Roda Ringankan Beban Warga Emas, Cerminkan Keprihatinan Pemimpin Setempat
LIMBANG: Usaha memperkasa kebajikan rakyat terus diberi penekanan apabila bantuan kerusi roda disalurkan kepada golongan memerlukan di Kampung Batu Danau, sekali gus meringankan beban penjagaan serta meningkatkan kualiti hidup penerima.
Program penyerahan bantuan tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang bersama isterinya Datin Mary Sindang dalam satu lawatan kebajikan yang berlangsung pada Khamis.
Bantuan berkenaan telah disampaikan kepada seorang warga emas, Sidang Garai, 85, yang kini berdepan kekangan pergerakan, sekali gus memberi manfaat langsung dari segi mobiliti serta keselesaan dalam menjalani kehidupan harian.
Selain bantuan fizikal, Dato Paulus dan Datin turut menghulurkan sumbangan kewangan secara peribadi sebagai tanda keprihatinan terhadap keperluan penerima dan keluarganya.
Program tersebut turut disertai Kaunselor Elvis Mathew Bungsu selaku Ahli Majlis Daerah Limbang serta Ketua Kaum, Kr. Mohd Hidayat Abdulah, mencerminkan kerjasama erat antara kepimpinan setempat dan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Dalam lawatan sama, Dato Paulus turut meninjau keadaan sebuah jambatan kampung yang dilaporkan rosak.
Perkara itu mendapat perhatian serius memandangkan kemudahan tersebut merupakan laluan penting penduduk setempat bagi urusan harian.
Penduduk kampung turut memohon agar kerja-kerja baik pulih dapat dilaksanakan dalam masa terdekat demi menjamin keselamatan serta keselesaan pengguna.-EDISI UKAS