JAS Sarawak Tegas Larang Pembakaran Terbuka, Risiko Jerebu Meningkat
KUCHING: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sarawak menasihati agar orang awam di seluruh negeri ini agar tidak melakukan pembakaran terbuka tanpa mendapat kebenaran dari pihak berwajib.
JAS dalam satu kenyataan media hari ini memberitahu, pesanan ini perlu diambil berat terutamanya ketika musim panas dan cuaca kering yang sedang dialami di Malaysia ini yang boleh menyebabkan peningkatan risiko jerebu dan kebakaran yang tidak terkawal.
Jelas JAS, larangan pembakaran terbuka ini juga dapat mencegah kemerosotan kualiti udara akibat dari berlakunya pencemaran udara yang teruk khususnya pada musim kering ini.
"Tindakan pembakaran terbuka boleh menjejaskan kualiti udara dan memberi kesan serius terhadap kesihatan awam, khususnya melibatkan penyakit pernafasan seperti asma, batuk dan bronkitis akibat pendedahan kepada zarah halus (PM2.5)," kata JAS lagi.
Menurut JAS lagi, golongan berisiko tinggi termasuk bayi, warga emas dan individu yang mempunyai penyakit kronik adalah paling terdedah kepada kesan pencemaran udara.
Katanya, larangan tersebut meliputi pembakaran sisa pertanian, semak samun, belukar, sampah domestik, buangan binaan serta aktiviti pembakaran di tapak pelupusan dan kawasan tanah gambut tanpa kelulusan bertulis daripada pihak berkuasa.
Dalam masa sama, pembakaran terbuka turut menyumbang kepada peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU), kemerosotan kualiti tanah dan air, selain memusnahkan flora, fauna serta ekosistem hutan dan tanah gambut.
Tegas JAS, individu yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2024), termasuk denda antara RM25,000 hingga RM1 juta, atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, pesalah juga boleh dikenakan denda tambahan sehingga RM5,000 bagi setiap hari kesalahan berterusan selepas notis dikeluarkan serta kompaun maksimum sehingga 50 peratus daripada kadar denda maksimum.
Sehubungan itu, orang awam diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka tanpa kebenaran serta terus peka terhadap sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan alam sekitar dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa. -EDISI UKAS