Pasukan Sukarelawan Bomba Komuniti Perlu Diperluas di Kawasan Luar Bandar
DARO: Cadangan penubuhan Pasukan Sukarelawan Bomba Komuniti dilihat semakin penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan penduduk, khususnya di kawasan luar bandar yang berdepan cabaran jarak dan tempoh masa tindak balas kecemasan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, keperluan itu menjadi lebih mendesak susulan kejadian kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Kampung Semop awal pagi tadi.
Menurut beliau, komuniti setempat perlu dilengkapi dengan pengetahuan asas serta kemahiran awal dalam menangani kebakaran bagi membolehkan tindakan segera diambil sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Penduduk setempat perlu dilengkapi dengan pengetahuan asas dan kemahiran awal dalam menghadapi kebakaran supaya tindakan pantas dapat diambil sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu juga menegaskan bahawa usaha memperkasa komuniti melalui penubuhan pasukan sukarelawan berkenaan akan terus dipergiat bagi memastikan tahap keselamatan penduduk sentiasa terjamin.
Beliau turut mencadangkan agar kemudahan asas seperti pam air, hos dan tong air disediakan di beberapa lokasi strategik dalam kampung sebagai langkah awal mengawal kebakaran, terutama di kawasan yang sukar dimasuki jentera bomba.
Terdahulu, sebuah rumah kediaman jenis tidak kekal di Jalan Kampung Masjid Lama Semop Hilir, Kampung Semop dilaporkan musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku sekitar jam 4.39 pagi.
Pasukan bomba yang menerima panggilan kecemasan segera digerakkan dan tiba di lokasi pada jam 5.03 pagi selepas menempuh jarak kira-kira 23 kilometer.
Operasi pemadaman bermula dua minit kemudian dan api berjaya dikawal dalam tempoh singkat sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.50 pagi.
Tiga penghuni rumah sempat menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan, manakala pemilik rumah tiada di lokasi ketika kejadian kerana keluar bekerja.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Dalam lawatan ke lokasi kejadian, Datuk Abdullah turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta menyampaikan sumbangan segera melalui Lembaga Kebajikan Islam Pulau Bruit dan Majlis Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Pulau Bruit.
Antara bantuan kilat yang disalurkan termasuk bantuan makanan serta kelengkapan bilik tidur hasil kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Daro dan Pejabat Daerah Daro.
Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Ketua Balai Bomba Daro Hasman Bakar, Ketua Polis IPD Matu Daro DSP Rahim Mihos, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Daro, Pegawai Kebajikan Daerah Daro, Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat, kaunselor, wakil Majlis KMKK Pulau Bruit serta wakil Lembaga Amanah Kebajikan Islam Pulau Bruit.-EDISI UKAS