Kepimpinan Akar Umbi Diperkasa, Tadbir Urus Pacu Pembangunan Komuniti di Lingga
LINGGA: Pemerkasaan kepimpinan akar umbi melalui tadbir urus yang tersusun terus menjadi pemangkin pembangunan komuniti luar bandar apabila Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diperkasa dengan kefahaman dan mandat yang jelas.
Perkara itu dizahirkan menerusi Majlis Penangguhan Kursus Program Tadbir Urus JKKK Kampung Kerepok Ili yang disempurnakan ADUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang pada Khamis.
Majlis turut menyaksikan penyerahan watikah pelantikan semula Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kawasan Banting, Lingga bagi memperkukuh kesinambungan kepimpinan di peringkat akar umbi.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan kepercayaan yang diberikan kepada JKKK merupakan amanah besar dalam memastikan kesejahteraan komuniti serta mempercepat pelaksanaan agenda pembangunan.
Menurutnya, pengukuhan tadbir urus mampu meningkatkan kecekapan penyampaian dasar kerajaan secara lebih efektif dan berimpak kepada rakyat.
Beliau turut menjelaskan pelaksanaan sukat tanah di bawah Seksyen 6 sebagai langkah memberi kepastian pemilikan, sekali gus meningkatkan nilai ekonomi tanah serta mengurangkan pertikaian.
Dalam masa sama, beliau mengumumkan peruntukan MRP RM8,000 kepada JKKK Rh Agusti, RM4,000 kepada Biro Wanita serta RTP RM200,000 bagi baik pulih rumah panjang Agusti di Engkerepok Ili.-EDISI UKAS