Aidilfitri Medium Kukuhkan Silaturahim & Perpaduan Komuniti
MATU: Sambutan Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa, malah menjadi medium penting dalam memperkukuh hubungan silaturahim serta perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi berkata, penganjuran majlis ramah tamah sempena sambutan berkenaan mampu merapatkan hubungan antara penduduk sekali gus memupuk semangat kebersamaan dalam komuniti.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Darul Iman Kampung Kuala Matu, di sini, pada Rabu.
Dalam majlis tersebut, Ahmad Johnie turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan hiasan lampu raya rumah sebagai tanda penghargaan terhadap kreativiti serta usaha masyarakat dalam memeriahkan suasana Aidilfitri.
Majlis berkenaan turut memberi peluang kepada beliau untuk beramah mesra dan bertemu dengan penduduk kampung, sekali gus mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.-EDISI UKAS