Program Sentuhan Kasih Mambong Ringankan Beban Mangsa Kebakaran, Pesakit Kronik
PADAWAN: Keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat memerlukan dizahirkan menerusi Program Sentuhan Kasih anjuran Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN N.19 Mambong yang menyantuni mangsa kebakaran serta pesakit kronik di beberapa kampung sekitar Padawan.
Program pada Isnin itu dimulakan di Zon Bekart, Kampung Bratan dengan lawatan ke kediaman Ricardo Gavin Kong yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran pada 20 Jun lalu, sekitar jam 7.30 malam yang menyebabkan semua harta benda di dalam rumah tidak dapat diselamatkan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Dalam lawatan tersebut, wakil Pusat Khidmat Masyarakat DUN Mambong, Cr. Felix Ngui telah menyampaikan bantuan dan sumbangan wang tunai kepada mangsa sebagai tanda sokongan serta keprihatinan terhadap kesulitan yang dihadapi.
Mangsa turut menerima sumbangan barangan keperluan asas daripada Pejabat Daerah Kecil Padawan yang disampaikan oleh Pegawai Tadbir Menguasa, Julius Scott Sapong dan turut disaksikan oleh Pegawai Tadbir Khas kepada Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Mambong, Keron Mapus bersama Naib Ketua Cawangan PBB Mambong, Cr. Stephen Jatu serta Ketua Wanita PBB Cawangan Mambong, Kaesan Nena.
Selain membantu mangsa kebakaran, program Sentuhan Kasih turut diteruskan ke Kampung Emperoh Git dan Kampung Nyiru Grait bagi menziarahi serta menyantuni pesakit kronik dan terlantar yang memerlukan perhatian serta sokongan berterusan.
Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Mambong dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian khususnya golongan yang berdepan kesukaran hidup dan memerlukan bantuan.-EDISI UKAS