Persembahan Line Dance Tampilkan Kepelbagaian Budaya Masyarakat Utara Sarawak
LAWAS: Persembahan Line Dance yang menampilkan pelbagai tarian budaya masyarakat berbilang kaum menjadi acara kemuncak penutup Beyond Waves and Dance Rhythms Festival 2026 di Waterfront Lawas pada Ahad malam.
Program tersebut menghimpunkan peserta daripada pelbagai peringkat umur yang mempersembahkan tarian mewakili etnik dan budaya masyarakat di Zon Utara Sarawak, sekali gus mempromosikan warisan budaya tempatan kepada orang ramai.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok yang mewakili Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong.
Dalam ucapannya, beliau memuji usaha penganjur yang berjaya menjadikan festival berkenaan sebagai platform mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum melalui aktiviti kebudayaan, sukan dan pelancongan.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pengalaman penganjuran selama dua tahun akan membantu memperkukuhkan lagi festival tersebut pada masa hadapan dengan penambahan aktiviti baharu yang lebih menarik.
Sementara itu, Pengerusi penganjur, Liaw Kuan Leong berkata persembahan line dance yang melibatkan pelbagai kumpulan dan generasi mencerminkan semangat perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di daerah ini.
Festival yang berlangsung selama lima hari itu dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan, Kebudayaan dan Ekspedisi Kaum Cina Lawas dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.
Penganjuran festival itu membuktikan seni, budaya dan sukan mampu menjadi medium berkesan dalam menyatukan masyarakat pelbagai kaum serta memelihara warisan budaya untuk generasi akan datang.-EDISI UKAS