Inspire i-Talent Mukah Lahirkan Pelapis Baharu Atlet Para Sarawak
MUKAH: Program Inspire i-Talent Peringkat Bahagian Mukah 2026 menjadi medan penting dalam usaha mengenal pasti dan membangunkan bakat baharu atlet para sebagai pelapis yang berpotensi mengharumkan nama Sarawak di pentas lebih tinggi pada masa hadapan.
Program yang berlangsung di Dewan Tertutup SSC Mukah itu melibatkan seramai 38 peserta Orang Kelainan Upaya (OKU) dari Mukah, Dalat, Oya, Matu dan Pulau Bruit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata program seumpama itu membuka peluang kepada golongan OKU untuk menyerlahkan potensi serta membina keyakinan diri menerusi penglibatan aktif dalam bidang sukan.
Menurut beliau, setiap individu mempunyai kelebihan tersendiri yang boleh dikembangkan sekiranya diberikan peluang dan sokongan yang sewajarnya.
“Kekurangan bukan penghalang untuk berjaya, malah boleh menjadi kelebihan jika dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
“Setiap individu mempunyai peluang dan ruang untuk mencapai kejayaan, justeru rebutlah peluang yang disediakan hari ini untuk mengembangkan potensi diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Inspire i-Talent Peringkat Bahagian Mukah 2026 pada Isnin.
Royston turut menegaskan komitmennya untuk terus menyokong pembangunan sukan para di Mukah, termasuk membantu atlet-atlet berpotensi mengembangkan bakat mereka ke peringkat lebih tinggi.
Sementara itu, Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah, Mohammad Arbi Rosli berkata program berkenaan merupakan platform pencarian bakat bagi mengenal pasti peserta yang sesuai diserap ke dalam acara sukan para mengikut keupayaan dan potensi masing-masing.
Katanya, penilaian dilakukan oleh jurulatih dan pegawai teknikal yang akan meneliti aspek fizikal, kebolehan serta kesesuaian peserta sebelum mereka disyorkan menyertai acara sukan yang bersesuaian.
“Program ini bukan sahaja bertujuan mencari bakat baharu, malah membuka peluang kepada golongan OKU untuk mengembangkan potensi diri serta meningkatkan keyakinan melalui penglibatan aktif dalam bidang sukan,” katanya.
Menurut beliau, program tersebut turut menjadi platform penting dalam memperluas penyertaan golongan OKU dalam bidang sukan serta membina barisan atlet pelapis yang berpotensi mewakili Sarawak pada masa hadapan.
Peserta program terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mukah, SMK Dalat, SMK Oya dan SMK Matu serta peserta dari Pusat Dalam Komuniti (PDK) Cahaya Kaseh Mukah, PDK Dalat, PDK Al-Syafie dan PDK Pulau Bruit.
Turut hadir Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak Yaman Yahya serta Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Sarawak (PESRON) merangkap Ketua Jurulatih Olahraga Para Sarawak, Matthew Chin Hiong Choi.— EDISI UKAS