Hasil Negeri Terus Dikongsikan Kepada Rakyat Melalui Pembangunan
SARIKEI: Hasil yang dijana Sarawak daripada sektor strategik seperti petroleum, tenaga hidro, tenaga solar dan perdagangan karbon terus dimanfaatkan untuk mempergiat pembangunan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab berkata pendekatan pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak sentiasa berpaksikan keperluan rakyat bagi memastikan setiap kawasan menikmati kemudahan dan peluang pembangunan secara lebih seimbang.
Menurut beliau, kutipan hasil negeri disalurkan semula kepada rakyat menerusi pelbagai projek pembangunan, penyediaan kemudahan asas serta bantuan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
“Duit yang dikumpul kerajaan negeri disalurkan semula kepada rakyat melalui pelbagai projek pembangunan dan penyediaan kemudahan yang diperlukan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ngiling Bidai di Rh Peter Minggat, Loba Stabar, pada Isnin.
Dato Ir Yusuf berkata antara projek utama yang memberi impak besar kepada rakyat termasuk pembinaan jambatan, pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo serta penyediaan pelbagai kemudahan asas di kawasan bandar dan luar bandar.
Selain itu, peruntukan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) turut membolehkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan berskala kecil dan sederhana mengikut keperluan komuniti setempat.
Menurut beliau, manfaat pembangunan turut diterjemahkan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan termasuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
Katanya, pendekatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak untuk memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati hasil pertumbuhan ekonomi negeri secara inklusif dan menyeluruh.
Tambah beliau, usaha memperkukuh pembangunan fizikal dan sosioekonomi akan terus dipertingkatkan bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara serta tiada kawasan yang tercicir daripada arus pembangunan.
Program Ngiling Bidai tersebut turut menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat di samping memelihara adat dan budaya yang menjadi warisan masyarakat Sarawak.— EDISI UKAS