RTP 2027 Perkasa Fasiliti Sukan Dan Tangani Isu Banjir Kilat Di Siburan
SIBURAN: Usaha memperkukuh kemudahan sukan dan menaik taraf infrastruktur awam di kawasan Siburan terus diberi perhatian menerusi Lawatan Tapak Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2027 yang dilaksanakan bersama Majlis Daerah Siburan (SDC) pada Isnin.
Lawatan tersebut melibatkan dua projek utama di bawah RTP DUN N.19 Mambong 2027 iaitu projek menaik taraf Dewan Bola Keranjang Siburan dengan peruntukan sebanyak RM200,000 serta projek menaik taraf sistem perparitan di Lorong 8, Siburan Village yang turut melibatkan kos RM200,000.
Projek menaik taraf Dewan Bola Keranjang Siburan dilihat penting dalam menyediakan kemudahan sukan yang lebih selesa, selamat dan berkualiti kepada komuniti setempat, sekali gus menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti sukan dan rekreasi.
Sementara itu, projek menaik taraf sistem perparitan di Lorong 8, Siburan Village bertujuan mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku di kawasan tersebut selain memastikan sistem saliran yang lebih efisien demi kesejahteraan penduduk.
Lawatan tapak berkenaan diketuai oleh Pengerusi Majlis Daerah Siburan merangkap Pegawai Daerah Siburan, Ranum Bari bersama Pegawai Tadbir Khas kepada Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap ADUN Mambong, Keron Mapus.
Menurut pihak penganjur, lawatan tersebut diadakan bagi mengenal pasti keperluan sebenar kerja-kerja menaik taraf termasuk aspek teknikal serta penyediaan Bill of Quantities (BQ) sebelum projek dilaksanakan.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam di kawasan luar bandar sentiasa dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan rakyat serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.-EDISI UKAS