Projek Saliran Terkawal RM3.41 Juta Dilaksana di Kampung Mujat
SERIAN: Satu projek pembangunan infrastruktur luar bandar, dikenali sebagai Cadangan Skim Saliran Terkawal Kampung Mujat, kini sedang dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir dan air bertakung yang menjejaskan aktiviti pertanian penduduk tempatan.
Projek yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan siling peruntukan sebanyak RM4.5 juta ini melibatkan kos kontrak bernilai RM3,414,977.
Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Datuk Martin Ben.
Menurut maklumat projek, skim saliran terkawal ini meliputi kawasan seluas 70 hektar yang majoritinya digunakan untuk penanaman padi. Seramai kira-kira 170 penduduk tempatan daripada kaum Bidayuh bergantung kepada aktiviti pertanian sebagai sumber pendapatan utama mereka.
Walaupun kawasan tersebut sesuai untuk penanaman padi kerana keadaannya yang rendah dan rata, ia sering berdepan masalah banjir dan air bertakung yang menjejaskan hasil tanaman.
Pelaksanaan projek ini dijangka dapat meningkatkan sistem pengurusan air serta produktiviti pertanian di kawasan berkenaan.
Surat Setuju Terima (SST) telah dikeluarkan pada 26 November 2025 kepada kontraktor di mana kerja pembinaan bermula pada 15 Disember 2025 dan dijadualkan siap dalam tempoh 18 bulan, dengan tarikh siap ditetapkan pada 14 Jun 2027.
Pelaksanaan projek ini diharap dapat memberi impak positif kepada kesejahteraan penduduk Kampung Mujat, khususnya dalam meningkatkan hasil pertanian serta mengurangkan risiko banjir di kawasan tersebut.
Turut hadir, Pegawai Daerah Tebedu, Gerard George Entigar, Temenggong Henry Bujang Senden dan wakil Resident Serian John Boyd. -EDISI UKAS