Sarawak Pacu Industri Elektrik & Elektronik Berasaskan Data
KUCHING: Sarawak memperkukuh langkah ke arah ekonomi digital apabila mula mengalih fokus industri elektrik dan elektronik (E&E) kepada pendekatan berasaskan data, selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, masa depan industri kini tidak lagi ditentukan oleh produk dan harga semata-mata, sebaliknya bergantung kepada keupayaan memanfaatkan data, teknologi serta ekosistem bersepadu.
Menurut beliau, peralihan tersebut membuka ruang luas kepada pemain industri untuk meningkatkan daya saing ke peringkat nasional dan global.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun ke-25 FOMEDA anjuran bersama Persekutuan Persatuan Peniaga Elektrik dan Elektronik (SEESA), di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik pengenalan piawaian FOMEDA serta penubuhan Majlis Penasihat Kebangsaan yang disifatkan sebagai langkah strategik dalam memperkukuh hala tuju industri.
Katanya, pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama rakan strategik seperti AVI, Ipsos dan NIQ turut mencerminkan komitmen serius ke arah menjadikan industri E&E lebih dipacu data.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan pemilihan Kuching sebagai lokasi sambutan ulang tahun ke-25 itu membawa signifikan besar sebagai simbol keyakinan pelabur serta potensi pertumbuhan industri di Sarawak.
Tambahnya, kestabilan politik dan perpaduan negeri menjadi asas penting dalam menarik pelaburan serta bakat berkualiti dari dalam dan luar negara.
Seiring itu, kerajaan negeri terus mempergiat inisiatif pembangunan termasuk memperkukuh ekonomi digital dan e-dagang, menyediakan latihan serta sokongan kewangan kepada usahawan muda, selain program kebajikan seperti Skim Manfaat Kesihatan Warga Emas (SCHB), Tabung Endowmen Anak Sarawak dan Bantuan Ibu Bersalin.
Katanya, pendekatan menyeluruh itu mencerminkan komitmen Sarawak memastikan pembangunan yang inklusif dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat.-EDISI UKAS