BINTULU: Permodalan Satok Berhad (PSB) dan Hub Carrier Sdn Bhd, anak syarikat Hubline Berhad, memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) bagi memperkukuh kedudukan Sarawak dalam sektor logistik petrokimia dan maritim.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut telah disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan dan Pembangunan Ekonomi), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, dengan perjanjian dimeterai oleh Pengerusi PSB, Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Abdul Aziz Husain bersama Presiden Eksekutif Kumpulan Hubline Berhad, Dato Sri Richard Wee, di sini pada Jumaat.
Kerjasama berkenaan, melalui penubuhan PSB Hubline Sdn Bhd, mencerminkan perkongsian strategik yang bertujuan untuk mengendalikan pengangkutan metanol dan produk kimia lain, serta menyediakan perkhidmatan logistik marin yang komprehensif.
Usaha sama ini juga akan meneroka peluang masa depan dalam penggunaan metanol hijau untuk bunker marin, selaras dengan trend kelestarian global.
Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Abdul Aziz dalam ucapannya berkata, inisiatif itu akan memperkukuh penyertaan tempatan dalam logistik maritim, meningkatkan daya tahan rantaian bekalan dan mengurangkan kebergantungan kepada satu penyedia perkhidmatan pengangkutan sahaja.
“Ia merupakan bukti komitmen Kerajaan Sarawak dalam membina ekosistem perindustrian yang berdaya tahan dan mampan,” katanya.
Bersempena dengan majlis menandatangani perjanjian itu, Hubline turut mengumumkan kerjasama mereka dengan sebuah syarikat pembinaan kapal iaitu Zhoushan Ningshing Shipbuilding & Repairing Co. Ltd China, untuk membina kapal tangki kimia dwi-bahan api yang dikuasakan oleh metanol, sekali gus memperkukuh lagi peralihan industri ke arah penyelesaian tenaga yang lebih bersih.
Majlis itu turut dihadiri oleh ahli Lembaga Pengarah PSB dan pasukan pengurusan Hubline, menzahirkan sokongan institusi yang kukuh terhadap usaha strategik ini.-EDISI UKAS