AgriCORP Perkasa Pertanian, Jamin Pendapatan Penduduk Luar Bandar
SARATOK: Agriculture Community Outreach Programme (AgriCORP) dilihat berupaya memperkasa sektor pertanian dan penternakan ke arah skala lebih besar serta menjamin sumber pendapatan berterusan kepada penduduk luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, pelaksanaan program tersebut memberi impak tinggi dalam meningkatkan penglibatan komuniti dalam sektor agromakanan serta menyokong agenda keterjaminan makanan negara.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program berkenaan yang berlangsung di Rh. Joan, Simpang Kabo, Saratok, pada Jumaat.
Menurut Friday, kerajaan pusat dan kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan besar bagi memperkukuh sektor pertanian termasuk pembangunan infrastruktur, bantuan input serta sokongan kepada projek penternakan dan pertanian moden.
Selain itu, tambahnya, cadangan kerjasama dengan syarikat dari China bagi pembangunan penanaman padi secara moden melibatkan kawasan seluas 1,000 hektar turut dirancang menerusi sesi dialog bersama pemilik tanah tempatan.
Terdahulu, program berkenaan dimulakan dengan beberapa sesi taklimat meliputi pengenalan kepada AgriCORP, bantuan industri asas tani, pelesenan kolam serta program perikanan darat.
Peserta turut didedahkan kepada teknologi pertanian moden seperti hidroponik, fertigasi, penghasilan baja kompos.
Sementara itu, Pengarah Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat yang turut berucap, menekankan kepentingan mengurangkan penggunaan baja kimia dengan menggalakkan penggunaan baja kompos serta penglibatan dalam industri asas tani dan pemprosesan makanan.
Beliau turut mengetengahkan penggunaan teknologi moden seperti penggunaan Internet of Things (IoT), fertigasi, hidroponik dan konsep cluster farming serta pembangunan infrastruktur sokongan oleh jabatan.-EDISI UKAS