Projek Jalan Pertanian Bernilai RM850,000 Di Kedup Dijangka Siap Januari 2027
TEBEDU: Pelaksanaan projek jalan pertanian bernilai RM850,000 di Kampung Mayang Kawan di sini akan menjadi pemangkin utama peningkatan ekonomi komuniti apabila siap sepenuhnya menjelang Januari 2027.
Projek sepanjang 2.8 kilometer di bawah inisiatif Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) itu bukan sahaja memperkukuh jaringan infrastruktur luar bandar, malah membuka akses lebih efisien kepada aktiviti pertanian dan penternakan penduduk setempat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Datuk Martin Ben berkata, pelaburan kerajaan melalui projek berimpak tinggi seperti ini membuktikan komitmen berterusan dalam memperkasa ekonomi rakyat luar bandar secara menyeluruh.
“Dengan peruntukan RM850,000 dan sasaran siap Januari 2027, projek ini akan membawa perubahan besar kepada penduduk. Akses yang lebih baik bermakna kos pengangkutan dapat dikurangkan dan hasil pertanian dapat dipasarkan dengan lebih pantas,” katanya semasa berucap dalam majlis pecah tanah projek berkenaan, di sini, pada Jumaat.
Beliau turut menggalakkan penduduk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang bakal disediakan dengan memperluas aktiviti pertanian dan penternakan di kawasan berkenaan.
“Apabila infrastruktur lengkap, peluang ekonomi akan terbuka lebih luas dan penduduk perlu proaktif mengusahakan tanah bagi meningkatkan pendapatan isi rumah,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Kampung Mayang Kawan menyifatkan tempoh pelaksanaan projek yang jelas serta peruntukan yang disalurkan memberi keyakinan kepada penduduk terhadap kesungguhan kerajaan dalam membangunkan kawasan luar bandar.
Menurutnya, sebaik projek siap kelak, ia dijangka memberi impak langsung kepada peningkatan produktiviti serta kesejahteraan ekonomi komuniti kampung.
Hadir sama, wakil Residen Bahagian Serian Johnboy Rinyah, Pegawai Daerah Tebedu Gerard George Entigar dan Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Serian Ir Ahong Manchu. -EDISI UKAS