Tiga Projek RTP Siap di Sebauh, Perkukuh Infrastruktur Luar Bandar
SEBAUH: Tiga projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) telah siap dilaksanakan di daerah Sebauh, sekali gus memperkukuh kemudahan asas serta meningkatkan kesejahteraan komuniti rumah panjang di kawasan berkenaan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, berkata projek terbabit memberi tumpuan kepada naik taraf infrastruktur utama termasuk jalan perhubungan dan kemudahan tempat letak kenderaan.
Menurut beliau, antara projek yang telah disiapkan ialah menaik taraf jalan masuk ke Rumah Egar Andil di Sungai Sebetau, menaik taraf jalan seberang Rumah Sta Liban di Sungai Ensaie Ulu serta menaik taraf kawasan parkir di Rumah Roslind Sanggau Ragai di Sungai Lanying, Gerong.
“Pelaksanaan projek RTP ini memberi impak signifikan kepada penduduk luar bandar, khususnya dari segi kemudahan perhubungan, keselamatan dan keselesaan harian,” katanya ketika berucap sempena lawatan tapak projek di Rumah Roslind Sanggau Ragai, pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat setempat agar sentiasa berwaspada berikutan keadaan cuaca panas serta ketidaktentuan global yang boleh memberi kesan kepada keselamatan makanan.
“Kita perlu sentiasa bersedia, termasuk memastikan keupayaan untuk menyediakan bekalan makanan sendiri,” ujarnya.
Dalam lawatan sama, beliau turut menyaksikan penyerahan bahan binaan di bawah Projek Bantuan Ehsan Kebakaran Rumah (BEKR) kepada penduduk Rumah Lapit @ Lapie Lai di Sungai Binai, bagi membantu mereka membina semula kediaman yang terjejas akibat kebakaran.
Turut hadir Pegawai Daerah Sebauh, Thaddeus Ling serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Collin Patan.-EDISI UKAS