MPP Meterai Perjanjian Bandar Persahabatan Dengan Huangshi
CHINA: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) terus memperkukuh jaringan antarabangsa apabila memeterai Perjanjian Pengukuhan Bandar Persahabatan bersama Bandar Huangshi, Wilayah Hubei, Republik Rakyat China, dalam usaha memperluas kerjasama strategik pelbagai sektor ke arah pembangunan mampan.
Perjanjian yang dimeterai di The Camphor Garden Reception Hall, Huangshi itu menjadi simbol komitmen berterusan kedua-dua bandar dalam memperkasa hubungan dua hala yang telah terjalin sejak tahun 2018, sekali gus membuka lembaran baharu kerjasama lebih dinamik dan berimpak tinggi.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut disempurnakan oleh Pengerusi MPP, Cr Tan Kai dan Datuk Bandar Huangshi, Wu ZhiLing, serta disaksikan oleh delegasi kedua-dua pihak.
Turut hadir, Setiausaha Perbandaran MPP, Ir Ts Goh Thiam Ho bersama ahli delegasi, manakala pihak Huangshi diwakili barisan kepimpinan kanan termasuk Timbalan Datuk Bandar, Guo Bao serta beberapa pengarah jabatan utama.
Kerjasama ini memberi tumpuan kepada bidang pertukaran rasmi, perdagangan, pendidikan dan pelancongan, selain mengukuhkan asas pembangunan bersama yang berteraskan prinsip kesaksamaan dan manfaat bersama.
Dalam ucapannya, Wu ZhiLing menyatakan keyakinan terhadap potensi kerjasama luas antara kedua-dua bandar, khususnya dalam memanfaatkan kekuatan industri Huangshi yang terkenal sebagai hab perindustrian utama dengan kepakaran teknologi tinggi.
Sementara itu, Cr Tan Kai menyifatkan pemeteraian perjanjian ini sebagai langkah signifikan dalam memperluas horizon kerjasama antarabangsa MPP, selain membuka peluang baharu dalam pembangunan ekonomi, pendidikan dan kebudayaan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas layanan mesra pihak Huangshi serta menyatakan hasrat untuk memperkukuh lagi hubungan dalam bidang eko-pelancongan dan pertukaran industri, selaras dengan potensi Padawan sebagai kawasan yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan sumber semula jadi.
Sepanjang lawatan tersebut, delegasi MPP turut mengadakan kunjungan ke institusi pendidikan dan industri utama termasuk Hubei Normal University dan Hubei Polytechnic Institute.
Lawatan ini memberi pendedahan kepada model kerjasama erat antara institusi pendidikan tinggi dan industri tempatan dalam pembangunan bakat, yang berpotensi dijadikan rujukan di Padawan.
Selain itu, tahap kemajuan teknologi tinggi dalam kalangan perusahaan di Huangshi turut membuka ruang kepada peningkatan pertukaran perniagaan antara syarikat kedua-dua bandar.
Melalui pemeteraian perjanjian ini, MPP dan Huangshi optimis untuk terus meneroka peluang baharu yang mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi, memperkasa pembangunan sosial serta memperkukuh hubungan antarabangsa secara berterusan. -EDISI UKAS