PAKAN: Kerjasama erat antara masyarakat dan wakil rakyat akan terus diberikan keutamaan sebagai usaha bagi memastikan pembangunan luar bandar lebih inklusif serta berdaya saing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, pendekatan pembangunan yang memanfaatkan sumber tempatan mampu membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.
Menurut beliau, kejayaan inap desa di Rumah Sibar, Lubuk Lemba, Ulu Sarikei membuktikan potensi pelancongan berasaskan komuniti dalam menjana pendapatan penduduk.
“Pendekatan ini membuktikan bahawa sektor pelancongan boleh dijadikan sumber ekonomi mampan sekiranya diurus dengan baik serta melibatkan penyertaan aktif masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di Rumah Kanyan, Nyalak Ladong, di sini pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi melaksanakan projek pembinaan jalan ke jeti yang disifatkan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi baharu, khususnya dalam sektor pelancongan komuniti.
Dalam pada itu, beliau berkata, penambahbaikan dewan Biro Wanita bukan sahaja memberi kemudahan kepada penduduk setempat, malah turut menitikberatkan aspek keselesaan dan keselamatan termasuk sistem pengudaraan serta penyediaan pili bomba.
Pada masa sama, beliau menggalakkan penduduk memanfaatkan tanah sedia ada untuk aktiviti pertanian seperti penanaman kelapa sawit dan getah bagi meningkatkan pendapatan secara berterusan.
“Perpaduan dalam kalangan masyarakat serta kerjasama dengan wakil rakyat merupakan kunci utama dalam memacu pembangunan ekonomi luar bandar,” katanya. - EDISI UKAS