Penduduk Diseru Tingkat Kesedaran Keselamatan Dan Kebersihan
PAKAN: Penduduk rumah panjang di kawasan ini diseru supaya sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kecemasan termasuk kebakaran dengan memberi perhatian serius terhadap aspek keselamatan, bekalan air dan kebersihan persekitaran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, langkah pencegahan kebakaran perlu diberi keutamaan, khususnya yang melibatkan kemudahan asas serta tahap kesedaran dalam kalangan penduduk.
Menurut beliau, penduduk perlu sentiasa peka terhadap risiko kebakaran dengan memastikan setiap urusan dapur diurus secara teratur melalui pengurusan yang rapi serta pematuhan kepada langkah-langkah pencegahan.
“Penyelesaian bermula dari dapur dan rumah. Kita perlu mengatur ruang kediaman dengan rapi serta sentiasa menjaga ‘api dapur’ agar tidak mendatangkan musibah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis perasmian Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di Rumah Kanyan, Nyalak Ladong, Pakan di sini, pada Sabtu.
Tambah beliau, bekalan air yang mencukupi di setiap rumah panjang amat penting sebagai persediaan sekiranya berlaku kebakaran.
“Isu air akan diusahakan secepat mungkin kerana ia amat penting terutama untuk kegunaan kecemasan seperti kebakaran,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menyentuh isu kebersihan, khususnya berkaitan pengurusan sampah di kawasan rumah panjang.
Katanya, kekangan peruntukan pihak berkuasa tempatan menyukarkan penyediaan tapak pelupusan sampah yang lebih sistematik, justeru penduduk digalakkan mengambil inisiatif sendiri.
Dalam hal ini, beliau menyarankan kepada masyarakat agar menyediakan lubang khas sebagai tempat pelupusan sampah dengan sokongan bantuan daripada pihaknya, di samping mengelakkan pembuangan sampah ke dalam sungai.
Tegasnya, kesedaran serta kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara. - EDISI UKAS