Ramah Tamah Aidilfitri Kukuhkan Perpaduan Masyarakat
MUKAH: Sambutan Hari Raya Aidilfitri terus menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini apabila diraikan dalam suasana penuh harmoni, saling menghormati dan kunjung-mengunjung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, amalan tersebut menjadi faktor utama yang menyumbang kepada keharmonian serta kestabilan masyarakat di negeri ini.
Menurutnya, keamanan yang dinikmati ketika ini adalah hasil usaha berterusan semua pihak dalam memupuk perpaduan sejak sekian lama.
“Keamanan dan keharmonian yang kita kecapi hari ini adalah hasil usaha berterusan semua pihak dalam memupuk perpaduan sejak sekian lama.
“Nilai-nilai murni ini perlu terus dipelihara bagi memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya
ketika berucap merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Masjid Darul Huda 2026, di sini, pada Sabtu.
Royston menambah, penganjuran majlis ramah tamah seumpama itu juga berperanan sebagai medium untuk merapatkan hubungan silaturahim serta memperluas jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.
Katanya lagi, inisiatif jawatankuasa pengurusan masjid dalam menyediakan kemudahan yang baik kepada umat Islam bagi menunaikan ibadah merupakan satu usaha penting yang wajar diteruskan.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan geran berjumlah RM5,000 kepada jawatankuasa pengurusan masjid bagi menyokong pelaksanaan program pada masa akan datang.
Hadir sama semasa majlis berkenaan ialab Pegawai Pusat Khidmat Parlimen Mukah Almalhakim Norshidi, Ketua Kampung Kuala Lama Junaidi@Yaakub Usuf, Pengerusi Masjid Darul Huda Norlia Buyun dan Timbalan Pengerusi Masjid Darul Huda Muhd Asyraf Huzaiti.-EDISI UKAS