SIBURAN: Seramai 84 penerima dari enam kampung di daerah Siburan dan Tebedu menerima bantuan di bawah program Penyerahan Tunai dan Baucar anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Cawangan Serian, yang berlangsung di Dewan Tapah, di sini, pada Sabtu.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn menjelaskan bahawa program tersebut merupakan yang pertama dilaksanakan di Bahagian Serian dan antara yang terawal di Sarawak.
Ini katanya akan menyerlahkan lagi semangat kesukarelawanan dalam masyarakat, khususnya melalui penglibatan dalam PBSMM yang melibatkan pelbagai lapisan termasuk pelajar, penjawat awam dan golongan belia.
“Sebagai manusia, kita perlu mempunyai rasa empati dan membantu antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang. Banjir yang berlaku setiap tahun memberi kesan kepada ramai pihak, dan bantuan seperti ini amat bermakna,” ujarnya.
Mengulas isu banjir, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat turut memaklumkan Kerajaan Sarawak sedang meneliti langkah jangka panjang termasuk cadangan pembinaan kolam takungan berskala besar bagi mengurangkan impak banjir, selain potensi penggunaan kawasan tersebut untuk penjanaan tenaga solar pada masa depan.
Sementara itu, Pengarah BSMM Sarawak, Chai King Sing, dalam ucapannya berkata program itu bertujuan membantu komuniti yang terjejas akibat banjir baru-baru ini dengan memberikan bantuan dalam bentuk tunai atau baucar.
Menurut beliau, bagi keseluruhan Bahagian Serian, seramai 178 penerima dari 12 kampung akan mendapat manfaat melalui inisiatif tersebut.
“Pendekatan ini memberi fleksibiliti kepada penerima untuk menentukan keperluan utama mereka seperti barangan kebersihan, makanan dan keperluan asas isi rumah, di samping turut menyokong perniagaan tempatan,” katanya.
Tambah beliau, hasil penilaian keperluan pasca banjir mendapati tiga keutamaan utama dikenal pasti iaitu kit kebersihan, kit pembersihan dan keperluan asas isi rumah. Setiap isi rumah akan menerima baucar bernilai RM370, yang boleh ditebus bermula 7 hingga 21 April 2026.
Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Damen Rejek dan wakil Residen Bahagia Serian Esther Najoh. -EDISI UKAS