RM7 Juta Naik Taraf Jalan Kebun Di Rajang, Belawai Dan Jerijih
RAJANG: Sebanyak RM7 juta diperuntukkan melalui Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) bagi menaik taraf jalan-jalan kebun di kawasan Rajang, Belawai dan Jerijih dalam usaha memperkukuh sektor pertanian serta meningkatkan kesejahteraan penduduk luar bandar.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, pelaksanaan projek berkenaan dijangka memberi manfaat besar kepada para pekebun dengan menyediakan akses jalan yang lebih selesa dan selamat ke kawasan kebun masing-masing.
Menurut beliau, kemudahan infrastruktur yang lebih baik akan membolehkan hasil kebun dibawa keluar dengan lebih cepat dan dalam kuantiti yang lebih banyak untuk dipasarkan, sekali gus meningkatkan produktiviti dan pendapatan rakyat.
“Apabila pengeluaran hasil kebun bertambah, secara tidak langsung pendapatan penduduk juga akan meningkat dan ini memberi impak positif kepada ekonomi setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Masyarakat Rajang pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan rakyat agar mengamalkan perbelanjaan berhemah berikutan ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik yang berlaku di Timur Tengah, yang telah menyebabkan kenaikan harga minyak dan seterusnya memberi kesan kepada harga barangan di pasaran.
Katanya, situasi tersebut dijangka memberi tekanan kepada perbelanjaan harian rakyat selain turut meningkatkan komitmen kewangan kerajaan dalam menangani cabaran semasa.
Majlis yang diadakan itu bertujuan memberi peluang kepada masyarakat setempat menyambut Aidilfitri bersama pemimpin dalam suasana sederhana, namun penuh bermakna.
Selain mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, program tersebut turut menjadi platform untuk memupuk semangat perpaduan, silaturahim serta amalan bermaaf-maafan dalam kalangan komuniti.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ketua-ketua kaum dan masyarakat serta penduduk Kampung Rajang. - EDISI UKAS