Projek RM4 Juta Ubah Wajah Taman Rekreasi Bintangor
MERADONG: Projek menaik taraf Taman Rekreasi Bintangor bernilai RM4 juta dilihat menjadi pemangkin dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat menerusi penyediaan kemudahan awam yang lebih selesa, selamat dan mesra pengguna.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, pelaksanaan projek di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) itu turut berperanan memperindahkan kawasan bandar Bintangor serta berpotensi menarik lebih ramai pengunjung.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja bagi meninjau perkembangan projek tersebut buat kali kedua selepas upacara penyerahan tapak projek pada 5 Januari lalu.
Menurutnya, lawatan berkenaan bertujuan memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar mengikut perancangan selain menilai sendiri kemajuan kerja-kerja naik taraf yang sedang dilaksanakan.
Dalam lawatan itu, beliau meninjau pelbagai komponen utama projek termasuk kemudahan tandas awam yang telah dinaik taraf bagi meningkatkan keselesaan pengunjung.
Selain itu, kerja penambahbaikan litar jalan utama taman turut dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pengguna, khususnya bagi aktiviti riadah seperti berjalan kaki dan berjoging.
Turut menjadi tumpuan ialah pembinaan struktur baharu seperti Jambatan Merah yang dijangka menjadi tarikan ikonik taman berkenaan, selain pembinaan pentas di tengah taman bagi menyokong pelbagai aktiviti komuniti dan program kemasyarakatan.
Di samping itu, pembangunan tapak permainan kanak-kanak sedang dilaksanakan sebagai usaha menyediakan kemudahan rekreasi yang lebih mesra keluarga.
Datuk Ding menegaskan projek tersebut merupakan antara inisiatif penting dalam memperkasa kemudahan awam di kawasan luar bandar sekali gus memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti.
Beliau turut berharap semua pihak terlibat dapat memastikan projek disiapkan mengikut jadual dengan mengekalkan kualiti kerja yang tinggi.-EDISI UKAS